
LAHAD DATU – Polis giat mengesan suspek terlibat kes buang bayi lelaki yamg cukup sifat di sebuah gerai tidak bernombor di Batu 13 Jalan Jeroco, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, semasa ditemui pukul 2 petang, bayi dipercayai meninggal dunia dan dihantar ke Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Sehubungan itu, Dzulbaharin memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan dengan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 089-881225 atau tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
Pada Selasa, penduduk kampung di Batu 13 digemparkan dengan penemuan bayi lelaki yang berbalut kain berwarna-warni bercorak petak dalam sebuah kotak di kawasan gerai tepi jalan.






