
SANDAKAN – Perjuangan politik digerakkan Pakatan Harapan (PH) Sabah ketika ini bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya, sebaliknya demi membina masa depan Sabah yang lebih cemerlang, bebas daripada amalan rasuah dan berteraskan keadilan.
Ketua Penerangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang juga Ahli Majlis Presiden PH, Dr Peter Jr Naintin berkata, PH Sabah tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Mandat yang diberikan Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH di Seri Perdana, Putrajaya pada 4 Februari lalu amat jelas iaitu untuk PH Sabah meneruskan rundingan bersama semua pihak bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Kerajaan Perpaduan yang kita dukung adalah kerajaan yang bersih, telus dan berani melakukan perubahan demi kesejahteraan rakyat.
“Kami mendengar suara dan memahami harapan rakyat Sabah. Kami berjanji akan berjuang sedaya upaya untuk memastikan suara Sabah terus didengari di peringkat nasional,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Terdahulu, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick dalam satu sidang media Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 anjuran UPKO Libaran Dewan Undangan Negeri (DUN) N.50 Gum-Gum pada 12 April lalu turut menekankan bahawa rundingan politik yang berlangsung ketika ini dilakukan secara tidak rasmi.
“Pada saya, saya ingin melihat yang harus mendapat manafaat itu adalah rakyat Sabah. Mendapat yang terbaik daripada gabungan yang akan mengambil bahagian dalam pilihan raya.
“Ini bukan soal pasal parti saya, tapi soal bagaimana gabungan itu memberikan yang terbaik kepada Sabah.
“Ini pada pandangan UPKO, kita mahu memberikan yang terbaik dan kita harus bersama dalam kerjasama yang membolehkan terbaik untuk masa depan Sabah dalam Pilihan Raya Negeri ini,” ujarnya.







