MAKKAH – Arab Saudi tidak akan membenarkan mana-mana pihak memasuki Makkah atau berada dalam kota suci itu tanpa visa haji bermula 29 April ini.
Larangan turut membabitkan ekspatriat tanpa permit sah memasuki Makkah seawal 23 April.
Permit kemasukan hanya diberikan kepada individu yang kediamannya berdaftar secara rasmi di Makkah atau mereka yang memegang permit haji sah atau individu diberi kuasa untuk bekerja di tapak suci.
Menurut laporan Saudi Gazette, permohonan permit boleh dihantar secara dalam talian melalui platform Absher Individuals atau portal Muqeem.
Langkah itu adalah sebahagian daripada arahan lebih menyeluruh untuk mengawal selia musim haji tahun ini, sekali gus memastikan keselamatan jemaah.
Semalam Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan peraturan terkini menjelang musim haji 2025.
Hari ini, iaitu bersamaan 15 Syawal 1446 atau 13 April 2025, menjadi tarikh akhir bagi jemaah umrah untuk masuk, manakala tarikh akhir bagi jemaah asing untuk meninggalkan kota suci itu ialah pada 1 Zulkaedah 1446 atau 29 April.
Ekspatriat yang ingin memasuki Makkah diwajibkan mendapatkan permit haji rasmi daripada pihak berkuasa yang berkaitan mulai 25 Syawal 1446 atau 23 April 2025.
Mereka yang tidak mempunyai permit haji yang sah akan dilarang masuk dan akan dihantar pulang ke negara asal.






