
KOTA KINABALU – Mariah Doksil melakar sejarah apabila menjadi wanita pertama dipilih sebagai Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) bagi penggal 2025–2027.
Wartawan Borneo Post itu dipilih sebulat suara tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Dwi Tahunan SJA yang turut diserikan dengan sambutan Aidilfitri di pejabat SJA, di sini pada Sabtu.
Mariah berkata, keupayaan memimpin sesebuah organisasi bukan bergantung kepada jantina, sebaliknya kerjasama dan kesungguhan pasukan menjadi asas kejayaan.

Beliau turut berhasrat untuk memperkukuh latihan kewartawanan dan menarik lebih ramai pengamal media menyertai persatuan itu.
Bekas presiden, Datuk Muguntan Vanar yang menerajui SJA sejak 2017, kini dilantik sebagai penasihat.
Turut dilantik dalam barisan kepimpinan baharu ialah Naib Presiden, Ricardo Unto (Daily Express); Setiausaha, Siti Aisyah Narudin (Utusan Borneo); Penolong Setiausaha, Mohd Nazllie Zainul (Kosmo); Bendahari, Angela Tan (Sin Chew Daily) dan Penolong Bendahari, Nancy Lai (Borneo Post).

Lima ahli jawatankuasa (AJK) baharu terdiri Stephanie Lee (The Star); Sandra Sokial (The Star); Fardy Bunga (Nabalu News); Jegathisan A/L Sivanesan (Borneo Post) dan Vivi Olviana Najurus (Utusan Borneo).


