Penduduk Taman Selat kecewa, sengsara sambut Aidilfitri tanpa air

KUALA KEDAH – Kemeriahan sambutan Aidilfitri bertukar suram bagi 29 keluarga di Taman Selat di sini apabila terus dihimpit masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak lebih sedekad lalu.

Kira-kira 150 penduduk di taman perumahan itu mendakwa mereka terpaksa menyambut Aidilfitri dalam serba kekurangan apabila bekalan air terputus sejak dua hari terakhir Ramadan.

Masalah yang berlarutan sejak 11 tahun lalu kini menjadi lebih meruncing, dengan penduduk terpaksa berjaga malam menadah air yang hanya mengalir perlahan selama lapan hari berturut-turut.

Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan persiapan menyambut Syawal, malah menyukarkan penduduk menjalani rutin harian seperti memasak, membersih rumah dan mencuci pakaian.

Penduduk, Umar Hafifi Mohamad Muhsin, 46, berkata, masalah bekalan air itu tidak pernah selesai sejak dia mula mendiami kawasan tersebut.

“Setiap kali raya, masalahnya sama, tiada air, tangki utama selalu kering. Bila minta bantuan Syarikat Air Darul Aman (SADA), mereka ambil masa empat hingga lima hari untuk hantar air.

“Sejak terputus bekalan selama lapan hari, baru sekali saja mereka hantar air,” katanya .

Umar Hafifi yang berniaga secara kecil-kecilan berkata, dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli tangki air bersaiz 500 liter, namun ia tetap tidak mencukupi bagi kegunaan enam ahli keluarganya.

Menurutnya lagi, gangguan air paling kerap berlaku ketika musim perayaan, menyebabkan penduduk tidak berani menjemput tetamu ke rumah.

“Dua hari sebelum raya tekanan air sangat perlahan, pagi ini langsung tiada air. Kami terpaksa berjaga malam semata-mata untuk tadah air,” katanya yang turut kesal kerana SADA tidak mengeluarkan sebarang notis gangguan mahupun jadual penghantaran air.

Difahamkan setiap rumah terpaksa membeli tangki air besar untuk menyimpan bekalan air.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Siti Rosnani Muhammad Tajuddin, 45, mendakwa dia terpaksa mencatu penggunaan air setiap hari dan bergantung kepada bantuan ayahnya untuk mencuci pakaian.

“Baju basuh di rumah ayah, mandi pun berjimat, dua tiga cebok sahaja. Rutin harian memang terganggu, beraya pun jadi hambar sebab saudara-mara tak dapat datang. Tak bersemangat nak sambut raya,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Tambahnya, lebih 10 rumah kosong di kawasan itu disebabkan pemiliknya berpindah kerana tidak tahan dengan masalah air, malah ada rumah tidak laku untuk dijual setelah diketahui isu tersebut.

Bagi Malini Rosman, 47, seorang penjawat awam, sambutan Aidilfitri saban tahun tiada bezanya, tanpa kunjungan tetamu dan anak-anak terpaksa menumpang mandi di masjid atau rumah rakan.

“Saya dah tukar pam air tiga kali sebab rosak bila air terputus. Terpaksa basuh baju di dobi, sekali cucian habis RM30. Air minum pun kena beli. Penduduk keluarkan belanja lebih RM1,000 untuk pasang tangki, paip dan pam sendiri,” katanya.

Justeru, dia berharap SADA tampil dengan pelan tindakan segera kerana penduduk sudah terlalu lama bersabar menghadapi masalah itu.

Related Posts

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan meluluskan RM1.57 bilion bagi memperkukuh pembangunan sektor kesihatan Sabah menerusi Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi 2026. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meneliti beberapa perkara yang dibangkitkan pada Kongres Nasional PKR dan Persidangan Kebangsaan DAP. Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

RM1.57 bilion perkukuh pembangunan kesihatan Sabah

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PH akan teliti mesej Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

Polis sahkan kedai emas Genting Highlands dirompak

LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

  • By Fandi
  • August 17, 2026
LDP Sandakan sedia rebut semula kepercayaan pengundi

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

RM57.5 bilion dalam separuh tahun, KWSP catat lonjakan 48 peratus

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok

MBSA sedia 300 hidangan percuma di Seksyen 24 esok