
PUTRAJAYA – Harga barangan asas adalah terkawal sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri susulan langkah pemantauan dan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kawalan harga barang dan kecukupan bekalan barangan asas sempena musim perayaan itu menunjukkan petanda positif terhadap usaha Kerajaan MADANI.
“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dimulakan dengan ucapan tahniah Perdana Menteri kepada pihak KPDN dan juga KPKM di atas kejayaan memastikan perkara-perkara berkaitan pengawalan harga barang asas terutama sempena tempoh menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, harga barang asas adalah terkawal.
“Kita juga kita lihat ada peranan yang dimainkan oleh para pemain industri yang telah memberikan kerjasama kepada KPDN dan KPKM,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Jelasnya, KPKM juga sedang berusaha untuk mengenalpasti kawasan-kawasan yang belum memperoleh bekalan beras putih tempatan.
“Beras putih tempatan juga telah mula sampai ke pelbagai lokasi dan pihak KPKM secara berterusan berusaha untuk mengenal pasti tempat-tempat yang belum memperoleh beras putih tempatan dan menyampaikannya.
“Malah ada dalam kalangan menteri yang menyatakan di sesetengah tempat harga telur pun turun menjelang Aidilfitri, jadi ini adalah petanda yang agak positif,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai juga boleh memanfaatkan aplikasi Price Catcher KPDN untuk mengenal pasti lokasi yang menjual produk-produk barangan asas pada harga yang berpatutan.
“Kita boleh membuat perbandingan harga bagi premis yang berbeza, produk yang sama. Jadi manfaatkan aplikasi Price Catcher, boleh muat turun di semua platform yang berkenaan,” tambahnya.






