PUTRAJAYA – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024 (RUU MMM 2024) yang antara lain bertujuan membuka jalan ke arah media lebih demokratik, bebas dan beretika.
RUU dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching bagi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 17 senator.
Ketika menggulung perbahasan, Nie Ching berkata, satu kod tata laku perlu diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan MMM bagi menetapkan peraturan tersendiri tanpa campur tangan kerajaan.
“Kita hendak memperkasa majlis media, kita percaya bahawa majlis media boleh ‘self regulate’ dan oleh sebab itu, kita akan beri kuasa kepada majlis media meluluskan kod tata laku mereka, termasuk prosedur untuk bagaimana mengenali ketidakpuasan hati,” katanya.
Nie Ching berkata, Jawatankuasa MMM juga mempunyai kuasa menjemput sesiapa sahaja – sama ada ahli atau bukan ahli – untuk mengambil bahagian, sekiranya mereka memulakan sesuatu siasatan.
“Kalau mereka (jawatankuasa) rasa pelaporan itu adalah tidak beretika, maka mereka boleh ambil tindakan gantung keahlian terhadap orang yang diadu.
“Kalau mereka rasa bahawa pergantungan keahlian itu tidak mencukupi dan perlu tindakan lebih serius, mereka boleh syorkan tindakan diambil Polis Diraja Malaysia ataupun Jabatan Penerangan Malaysia untuk gantungkan kad perakuan media dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu beliau berkata RUU berkenaan memperuntukkan dua wakil kerajaan dalam lembaga MMM kerana ia adalah badan yang ditubuhkan melalui RUU kerajaan dan dipertanggungjawabkan di bawah Kementerian Komunikasi.
“Oleh itu wakil kerajaan adalah wajar berada dalam lembaga majlis untuk urusan kerajaan dan seperti yang dijelaskan dalam RUU ini, wakil kerajaan ini hendaklah dalam kalangan orang yang terlibat dalam media industri seperti RTM atau Bernama,” jelasnya.








