
SANDAKAN – Tindakan segera akan diambil bagi menangani isu infrastruktur dan kebersihan di Bandar Ramai-Ramai serta Karamunting, bagi memastikan kesejahteraan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, merakamkan penghargaan kepada Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson, atas kesediaannya meninjau kawasan Karamunting dan mendengar permasalahan penduduk.
“Melalui tinjauan ini, kita akan memastikan setiap masalah diberi perhatian dan diselesaikan.
“Tinjauan bermula di Bandar Ramai-Ramai dan akan diteruskan ke kawasan lain di Karamunting, termasuk Bandar Nam Tung dan Bandar Leila,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Sementara itu, Walter turut meninjau kawasan Bandar Ramai-Ramai untuk menilai tahap kebersihan dan kekemasan di lokasi terbabit.
“Kebersihan dan kekemasan bandar adalah keutamaan MPS, bukan sahaja demi imej tetapi juga sebagai keperluan asas untuk kesejahteraan rakyat.
“Penduduk berhak bersuara, dan MPS bertanggungjawab memastikan perkhidmatan asas ini dilaksanakan dengan baik demi kemudahan semua,” katanya.








