Pemotongan bekalan elektrik, makanan di Gaza jelas jenayah perang – Hamas

GAZA – Kumpulan Pejuang Palestin, Hamas mengecam tindakan Israel yang terus memotong bekalan elektrik dan makanan ke Semenanjung Gaza sebagai jenayah perang.

“Pemotongan bekalan elektrik oleh Israel ke Gaza, yang berlanjutan lebih 16 bulan, serta tindakan terbaharu untuk memutuskan talian elektrik terhad yang membekalkan tenaga kepada loji penyahgaraman Deir al-Balah adalah jenayah perang yang berisiko mencetuskan bencana kehausan,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Hamas berkata penggunaan air dan makanan oleh Israel sebagai alat perang terhadap orang awam adalah sebahagian daripada usaha sistematik untuk memburukkan lagi bencana kemanusiaan di Gaza.

Hamas juga menyelar kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengenakan hukuman kolektif yang belum pernah berlaku terhadap lebih dua juta penduduk Gaza.

Israel memutuskan bekalan elektrik ke Gaza pada Ahad, dalam langkah terbaru untuk mengetatkan sekatan ke atas wilayah Palestin itu walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan.

Pelapor Khas PBB, Francesca Albanese, mengecam tindakan Israel itu sebagai ‘amaran genosid’, dengan mengatakan bahawa tanpa elektrik, tiada sumber air bersih.

Tindakan itu susulan keputusan Israel sebelum ini untuk menghentikan bantuan kemanusiaan ke Gaza, mencetuskan amaran daripada kumpulan hak asasi manusia dan pihak tempatan mengenai permulaan kebuluran yang meluas dalam kalangan penduduk Palestin.

Pada Selasa, Mohammad Thabet, jurucakap Syarikat Pengagihan Elektrik Gaza berkata, Israel hanya membekalkan lima megawatt elektrik kepada wilayah itu sejak November lalu sebelum keputusan terbaharu untuk memutuskan bekalan tenaga sepenuhnya.

Hamas berkata penutupan lintasan Gaza oleh Israel serta sekatan terhadap bekalan makanan dan perubatan adalah pelanggaran serius terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.

Hamas turut menggesa PBB, organisasi kemanusiaan, dan negara-negara Arab untuk bertindak segera menghentikan jenayah kejam ini, menamatkan sekatan, dan membawa pemimpin Israel ke muka pengadilan antarabangsa.

Lebih 48,500 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh dalam perang ganas Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023. Serangan itu dihentikan sementara di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang bermula pada Januari.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas serangannya ke atas wilayah itu.

Related Posts

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

NEW DELHI – Malaysia menyeru semua pihak yang terbabit dalam konflik di Asia Barat supaya menghentikan peningkatan ketegangan dan kembali menggunakan saluran diplomasi bagi mencari penyelesaian, kata Perdana Menteri, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar, Putin bincang penerbangan terus, bebas visa Malaysia-Rusia

NEW DELHI – Hubungan Malaysia-Rusia diperkukuh dengan beberapa kerjasama bagi merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Rusia. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian setelah pertemuan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan