
GAZA – Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) memberi amaran bahawa tindakan Israel menggantung bantuan ke Gaza, termasuk pemotongan bekalan elektrik baru-baru ini, berisiko menjerumuskan wilayah itu ke dalam darurat kemanusiaan yang semakin kritikal.
“Gencatan senjata di Gaza terbukti penting dalam menyelamatkan nyawa, membolehkan bantuan kemanusiaan masuk, dan menyokong kelangsungan hidup penduduk awam. Namun, krisis kemanusiaan di Gaza masih jauh daripada berakhir.
“Penghantaran bantuan meningkat dengan ketara sepanjang tempoh gencatan senjata, tetapi jumlahnya masih terlalu kecil berbanding keperluan yang amat besar di lapangan,” kata ICRC dalam satu kenyataan.
ICRC menekankan bahawa selain bantuan kecemasan, komitmen jangka panjang diperlukan bagi membina semula perkhidmatan asas dan memulihkan maruah komuniti yang terkesan.
Selain itu, terdapat ‘keperluan mendesak’ untuk bantuan yang lebih pelbagai, termasuk bahan binaan untuk tempat perlindungan, bekalan perubatan, dan perkhidmatan penting lain bagi menangani krisis kemanusiaan yang semakin kompleks.
“Penggantungan bantuan pada ketika ini, termasuk pemotongan bekalan elektrik ke satu-satunya loji penyahgaraman air di Gaza, berisiko membawa wilayah itu ke tahap darurat kemanusiaan yang lebih teruk. Kesan awalnya sudah mula dirasai melalui kenaikan harga barangan asas serta kekurangan bekalan,” tegas ICRC.
Palang Merah turut mendesak Israel untuk memastikan keperluan asas penduduk awam di bawah kawalannya dipenuhi, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan dan dipermudah masuk dengan pantas serta tanpa halangan,” tambahnya.
Pada Ahad lalu, Israel telah memotong bekalan elektrik ke Gaza, dalam langkah terbaru mengetatkan sekatan terhadap wilayah itu walaupun terdapat gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan.
Tindakan ini menyusuli keputusan Israel minggu lalu untuk menyekat sepenuhnya kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, mencetuskan amaran daripada kumpulan hak asasi dan pihak tempatan mengenai kebangkitan semula krisis kebuluran besar-besaran dalam kalangan penduduk Palestin.
Sementara itu, jurucakap Israel sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu tidak menolak kemungkinan untuk memutuskan bekalan air dan elektrik ke Semenanjung Gaza sebagai tekanan terhadap kumpulan Palestin, Hamas.
“Semakin lama Hamas terus berdegil, semakin besar kelebihan yang dimiliki Israel.
“Kami mempunyai pelbagai langkah untuk menekan Hamas. Kami juga sedang bersiap sedia secara ketenteraan untuk menyambung kembali pertempuran, dan kami tidak menolak kemungkinan untuk memutuskan bekalan air serta elektrik ke Gaza,” kata jurucakap Netanyahu, Omer Dostri, kepada stesen radio tempatan 94FM.
Menurutnya lagi, Israel sepenuhnya berkoordinasi dengan Amerika Syarikat dan mahu memberi peluang untuk membawa pulang seberapa ramai tebusan yang masih hidup.
Netanyahu sebelum ini menolak untuk memulakan rundingan bagi fasa kedua gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan, sebaliknya, hanya mahu melanjutkan fasa pertama perjanjian yang sedang berjalan.
Pada Ahad lalu, kerajaan Israel menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza sebaik sahaja fasa pertama gencatan senjata tamat.
Hamas pula enggan meneruskan perbincangan di bawah syarat-syarat ini, menegaskan bahawa Israel perlu mematuhi perjanjian gencatan senjata sepenuhnya dan segera memulakan rundingan fasa kedua. Fasa ini termasuk penarikan penuh tentera Israel dari Gaza serta penghentian perang secara total.
Sementara itu, penyiar rasmi Israel, KAN, memetik sumber tanpa nama yang mendakwa bahawa Israel bercadang untuk meningkatkan tindakan ketenteraan terhadap Gaza dalam tempoh seminggu.
Langkah ini termasuk memutuskan bekalan elektrik, melaksanakan pembunuhan terancang, serta mengusir penduduk Palestin dari utara Gaza ke bahagian selatan.
Sejak Januari, gencatan senjata telah menghalang perang pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas Gaza, yang telah mengorbankan hampir 48,500 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menghancurkan hampir keseluruhan wilayah itu.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas serangan ketenteraannya terhadap Gaza.



