
KUCHING: Masyarakat Orang Ulu telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah bagi sambutan Gawai Dayak peringkat negeri tahun 2025.
Perkara itu diumumkan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah di Kuching pada Selasa.
Dalam mesyuarat tersebut, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala turut dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa penganjur sambutan Gawai Dayak kali ini.
Beliau akan bertanggungjawab dalam membentuk jawatankuasa kerja serta mencadangkan tarikh untuk program tahunan yang akan datang.
Uggah, yang juga pengerusi jawatankuasa induk sambutan Gawai Dayak 2025, menyatakan penganjuran acara tersebut memberi peluang keemasan bagi masyarakat Orang Ulu untuk mempamerkan budaya dan tradisi masing-masing, memastikan ia terus hidup dan tidak lapuk ditelan zaman.
“Sambutan ini adalah kesempatan untuk Orang Ulu menunjukkan kekayaan budaya mereka kepada dunia.
Saya berharap dengan sokongan semua pihak, acara ini akan berlangsung dengan meriah dan memberi impak positif kepada masyarakat,” ujar Uggah.
Mengenai sambutan Gawai Dayak tahun lalu, Uggah mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, termasuk individu, sektor awam, dan swasta.
Beliau turut memuji semangat kerjasama antara komuniti Bidayuh, Iban, dan Orang Ulu yang berjaya menjayakan acara tersebut.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, yang mempengerusikan acara tahun lalu, berkongsi lima teras utama menyumbang kepada kejayaan program tersebut, antaranya bazar Gawai Dayak, karnival, perarakan kebudayaan, majlis makan malam Gawai Negeri, serta penerbitan brosur Pelancongan Gawai dan buku Meja Kopi.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep yang mempengerusikan bazar Gawai tahun lalu pula memberitahu mereka mencatatkan rekod jualan sebanyak RM2.4 juta sepanjang 11 hari acara berlangsung.
Sebanyak 174 gerai yang menyajikan pelbagai jenis makanan halal Dayak serta kraf tangan turut mengambil bahagian dalam bazar tersebut.
Sambutan Gawai Dayak 2025 dijangka akan menjadi lebih meriah dan memperlihatkan kepelbagaian tradisi dan keunikan budaya masyarakat Sarawak, khususnya masyarakat Orang Ulu.




