
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat, Edgard D Kagan ke Malaysia petang ini.
Dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri, Setiausaha Akhbar Kanannya, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kedua-dua pihak dijangka membincangkan hubungan dua hala dan kerjasama merentasi pelbagai sektor.
“Mereka juga akan menyentuh soal Kepengerusian ASEAN Malaysia, khususnya Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat akan datang,” katanya menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) disiarkan di Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Tambahnya, butiran tambahan mengenai keputusan mesyuarat itu akan dikongsi kemudian.









