PEGAWAI kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas satu pertuduhan mencuri RM300,000 daripada seorang individu, bulan lalu.
Tertuduh, Inspektor Azlan Sudin, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Azlan adalah Ketua Balai Polis Bukit Jalil, dekat sini.
Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang individu yang masih bebas, didakwa mencuri wang dan beg jenama mewah – Prada – berwarna hitam milik seorang wanita berusia 35 tahun di sebuah unit kondominium di Bukit Jalil, pada jam 5.45 petang, 21 Februari lalu.
Azlan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Majistret Farah Nabihah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selepas mendengar rayuan peguam mewakili tertuduh.
Mahkamah menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di mahkamah majistret berasingan di hadapan majistret Noorelynna Hanim Halim, Azlan mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan tidak menangkap seorang lelaki yang terbabit dengan jenayah.
Mengikut pertuduhan, Azlan sebagai anggota polis yang berkewajipan menangkap seorang suspek bagi kes senjata api, didakwa sengaja tidak melakukan tangkapan itu, di lobi Balai Polis Bukit Jalil, Cheras di sini antara jam 6.50 hingga 7 petang, 21 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 221(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika disabitkan kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Majistret Noorelynna Hanim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei untuk sebutan kes.






