
KENINGAU – Penutupan laluan di KM14.300, Jalan Keningau-Kimanis ditutup satu lorong bermula Ahad dan dilanjutkan sehingga Rabu iaitu 5 Mac ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan penutupan itu berikutan kejadian tanah runtuh berserta batu yang berlaku pada Jumaat lalu, kini masih aktif.
“Susulan kejadian tersebut, JKR mengambil tindakan penutupan atas faktor keselamatan pengguna jalan raya.
“Pemantauan berterusan dan kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan.
“Setakat ini, penutupan jalan berkenaan adalah sehingga tarikh tersebut, walau bagaimanapun bergantung kepada keadaan semasa di lokasi,” kata kenyataan itu pada Ahad.
Menurut JKR, sekiranya cuaca masih tidak mengizinkan dan runtuhan masih aktif penutupan satu lorong akan dilanjutkan lagi sehingga keadaan selamat untuk pengguna jalan raya.
Tambahnya, jalan tersebut juga akan ditutup sepenuhnya semula sekiranya hujan lebat berterusan kerana dikhuatiri runtuhan tanah berserta batu akan menjejaskan keselamatan di lokasi itu.
Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan supaya menggunakan jalan alternatif di Jalan Kota Kinabalu–Keningau–Tenom dan Jalan Sipitang Tenom.





