PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan seorang wartawan portal berita dalam talian malam tadi berpunca kes rasuah, bukan disebabkan laporan pendedahan dibuat.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dengan wartawan lelaki itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009.
Mengulas lanjut, katanya wartawan terbabit ditahan di sebuah hotel di Shah Alam kira-kira jam 11.30 malam tadi.
“Penahanan (wartawan itu) berhubung dakwaan kes rasuah dan bukannya mengenai pendedahan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti didedahkan portal berita berkenaan.
“Wartawan itu dipercayai menerima sejumlah wang daripada seorang ejen pekerja warga asing berjumlah RM20,000 dan ketika tangkapan wang berkenaan ada bersamanya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Terdahulu, sebuah portal berita dalam talian melaporkan wartawannya ditahan lewat malam tadi berkaitan artikel mengenai dakwaan kumpulan kartel Pakistan menyeludup pekerja asing ke Malaysia.
Pada 22 Februari lalu, portal berita itu memetik sumber mendakwa bekas pegawai imigresen bergelar ‘Datuk’ sebagai dalang di sebalik kumpulan kartel yang didakwa beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Majistret Baveniyah R Jothi membenarkan wartawan itu ditahan reman bermula hari ini sehingga Selasa susulan permohonan dibuat SPRM.





