
GAZA – Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, Israel telah membunuh kira-kira 17,861 kanak-kanak sejak pembunuhan beramai-ramai itu bermula.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 21 Januari, pejabat itu melaporkan bahawa daripada jumlah keseluruhan kematian kanak-kanak, sekitar 214 bayi telah dilahirkan dan dibunuh sepanjang pembunuhan beramai-ramai ini malah 808 kanak-kanak berusia bawah 1 tahun juga telah terbunuh sepanjang tempoh itu.
Sumber perubatan pula melaporkan bahawa serangan udara Israel juga membunuh wanita Palestin yang sedang mengandung bersama bayi mereka yang belum lahir, walaupun angka rasmi tidak tersedia.
Pembunuhan bayi pramatang
Pada 10 November 2023, tentera Israel menyerbu Hospital Kanak-Kanak Al-Nasr di barat bandar Gaza, memaksa kakitangan perubatan untuk beredar di bawah tembakan senjata malah tentera Israel juga enggan memindahkan bayi pramatang, menyebabkan lima bayi meninggal dunia, menurut Kementerian Kesihatan Gaza ketika itu.
Selepas pengunduran Israel dari kejiranan Al-Nasr di Gaza, mayat bayi yang telah reput ditemui di dalam inkubator dan katil hospital mereka, tentera Israel telah memutuskan akses mereka kepada rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa.
Kecederaan kanak-kanak
Pada Disember 2024, Philippe Lazzarini, Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), memberi amaran mengenai pandemik kecacatan di Gaza akibat perang yang berterusan.
Di platform X, beliau memaklumkan bahawa Gaza mencatatkan jumlah kanak-kanak yang mengalami kecacatan kudung per kapita tertinggi di dunia di mana ramai di antara mereka kehilangan anggota badan dan menjalani pembedahan tanpa bius.
Pada akhir Januari, Pejabat Media Kerajaan Gaza melaporkan bahawa 4,500 orang telah mengalami kudung dengan 18 peratus daripadanya adalah kanak-kanak.
Kanak-kanak berisiko kebuluran
Satu kenyataan dari Pejabat Media Gaza pada Januari memberi amaran bahawa 3,500 kanak-kanak berdepan maut akibat kekurangan zat makanan yang teruk dan kekurangan bekalan makanan.
Krisis ini berlanjutan walaupun perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa pada 19 Januari.
Pegawai kesihatan melaporkan bahawa puluhan kanak-kanak telah meninggal dunia akibat sekatan bantuan kemanusiaan oleh Israel sepanjang pembunuhan beramai-ramai, yang menghalang bekalan makanan sampai kepada penduduk.
38,495 kanak-kanak menjadi yatim piatu
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, 38,495 kanak-kanak telah kehilangan satu atau kedua-dua ibu bapa akibat pembunuhan beramai-ramai ini.
Laporan hak asasi manusia sebelum ini mengaitkan kehilangan ibu bapa ini berkait dengan pembunuhan dan penahanan oleh tentera Israel.
Pada Februari 2024, Ketua Komunikasi UNICEF, Jonathan Crickx berkata, setiap seorang daripada kanak-kanak ini mempunyai kisah yang sangat menyayat hati.
Kehilangan ibu bapa telah memaksa ramai kanak-kanak memikul tanggungjawab yang tidak sepatutnya dihadapi, termasuk mencari makanan dan keperluan asas untuk keluarga mereka malah kebanyakan daripada kanak-kanak terpaksa bekerja pada usia yang sangat muda.
Pendidikan dinafikan
Selama lebih 15 bulan, kanak-kanak di Gaza yang sepatutnya bersekolah telah dinafikan hak pendidikan akibat pembunuhan beramai-ramai ini.
Dalam satu kenyataan pada 22 Januari, Kementerian Pendidikan Gaza melaporkan bahawa Israel telah membunuh lebih 15,000 kanak-kanak berumur di antara 6 hingga 18 tahun.
“Jumlah korban ini bersamaan dengan pembunuhan seluruh populasi pelajar dan kakitangan lebih 30 sekolah sekaligus menonjolkan skala jenayah yang dilakukan terhadap kanak-kanak dan pendidik,” kata kementerian itu.
Kementerian itu juga menambah bahawa lebih 50,000 pelajar telah cedera, dengan sebahagian mereka mengalami kecederaan berkali-kali manakala ramai mengalami kecacatan kekal, termasuk amputasi (kudung), lumpuh, kecederaan kepala, dan kehilangan deria.
“Akibatnya, kami menjangkakan peningkatan lima kali ganda dalam bilangan pelajar kurang upaya di sekolah-sekolah Gaza,” menurut kenyataan itu.
Pada September 2024, Lazzarini dari UNRWA memberi amaran bahawa kesan perang terhadap sistem pendidikan Gaza boleh membawa kepada generasi yang hilang.
“Gaza di mana sekolah bukan lagi sekolah,” tulisnya di platform X.
1 juta kanak-kanak memerlukan sokongan psikologi
Pada 24 Januari, Timbalan Setiausaha Agung PBB untuk Hal Ehwal Kemanusiaan, Tom Fletcher, melaporkan bahawa satu juta kanak-kanak memerlukan sokongan kesihatan mental dan psikososial akibat kemurungan, kebimbangan, dan pemikiran untuk membunuh diri.
“Sepanjang 15 bulan, kanak-kanak di Gaza telah dibunuh, dibiarkan kelaparan, dan mati kesejukan.
“Mereka telah dibunuh, dibiarkan kelaparan dan mati kesejukan. Mereka juga cacat, menjadi yatim piatu atau terpisah daripada keluarga mereka,” tambah Fletcher dalam sesi Majlis Keselamatan mengenai penderitaan kanak-kanak di Gaza.
Beliau turut menyatakan bahawa kanak-kanak kehilangan akses kepada sekolah dan rawatan perubatan, dengan mereka yang mempunyai penyakit kronik bergelut untuk mendapatkan rawatan.
Menurut UNICEF, satu juta kanak-kanak di Gaza mengalami trauma psikologi yang teruk, tambahnya.
Perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa bulan lalu telah menghentikan perang pembunuhan beramai-ramai Israel, yang telah membunuh sekurang-kurangnya 48,300 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta meninggalkan Gaza dalam kehancuran.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangannya terhadap Gaza.
Sumber: Agensi Anadolu

