
KUCHING – Kesedaran mengenai ilmu kesihatan dan gaya hidup sihat mampu mencegah seseorang daripada penyakit kanser.
Menurut Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Dr. Siti Zaleha Sulaiman, kepentingan pengesanan awal kanser mampu meningkatkan kejayaan rawatan dan mencegah penyakit itu daripada merebak.
“Pemeriksaan berkala dan pilihan gaya hidup yang sihat mampu mengurangkan risiko pelbagai jenis kanser,” jelas Dr Siti Zaleha.
Tambah Dr Siti Zaleha, beliau tuurt menggesa agar orang ramai mengamalkan gaya pemakanan yang sihat, tidak merokok, mengamalkan aktiviti bersenam dan kurangkan pengambilan alkohol berlebihan.
“Mencegah lebih baik daripada mengubati,” kata Dr Siti Zaleha ketika menyampaikan syarahan Literasi Kesihatan Warga Emas Sempena Hari Kanser Sedunia 2025 di Perpustakaan Negeri Sarawak (Pustaka) Negeri Sarawak pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli berkata, program ini mencerminkan komitmen pihaknya untuk memupuk pembelajaran sepanjang hayat.
“Untuk berjaya di dunia, seseorang itu perlu mempunyai ilmu, dan untuk berjaya di akhirat, seseorang itu juga perlu mempunyai ilmu,” kata Japri memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Thalib RA.
Japri turut menyatakan kebergantungan kepada ilmu adalah mutlak dan pihaknya sentiasa menyediakan kemudahan untuk menyokong budaya pembelajaran sepanjang hayat.
“Program ini menyaksikan kehadiran yang sangat menggalakkan daripada orang ramai terutama warga emas dan berharap lebih ramai akan menyertai program seperti ini pada masa hadapan,” ujar Japri.
Peserta, Rosnah Hamidun, 63 tahun, berkata program ini sangat bermanfaat untuk mengisi masa lapang.
“Kita dapat manfaat daripada ilmu pengetahuan berkenaan kanser sekali gus dapat membuat saringan kesihatan yang turut disediakan oleh program kesihatan ini,” kata Rosnah.

Rosnah berharap lebih ramai warga emas untuk menyertai program seumpama ini supaya dapat mengisi masa lapang yang lebih bermanfaat.








