Penduduk Rafah perlukan 40,000 khemah hadapi cuaca buruk

GAZA – Sekurang-kurangnya 40,000 khemah dan tempat perlindungan diperlukan oleh penduduk yang kehilangan tempat tinggal di bandar Rafah, selatan Gaza, susulan cuaca buruk membawa hujan lebat, angin kencang sehingga merosakkan tempat berteduh penduduk di sana.

Datuk Bandar Palestin, Ahmed al-Soufi  pada Khamis merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk menyediakan 40,000 khemah dan tempat perlindungan bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal di bandar Rafah, selatan Gaza, di tengah-tengah hujan lebat.  

Penduduk Palestin mengalami malam yang mencemaskan di Gaza selepas cuaca buruk membawa hujan lebat dan angin kencang yang membanjiri khemah serta mencabut sebahagian daripadanya, sekali gus memburukkan lagi penderitaan mereka dalam keadaan kemanusiaan yang sudah sedia sukar.  

“Situasi di Rafah telah mencapai tahap bencana, dengan puluhan ribu orang terpaksa bermalam di kawasan terbuka di bawah hujan lebat dan angin kencang yang merobek khemah usang mereka, mendedahkan penduduk kepada kesejukan, kelaparan, dan penyakit,” katanya dalam satu kenyataan.  

Ahmed berkata, 90 peratus unit kediaman di Rafah telah musnah sepenuhnya akibat 15 bulan pengeboman oleh Israel.  

“Sebanyak 52,000 unit khemah mengalami kerosakan separa, menyebabkan bandar itu tidak lagi  mampu untuk menampung penduduknya yang terjejas, malah masih belum ada penyelesaian perumahan yang mampan,” tambahnya.  

Soufi memberi amaran bahawa Rafah tidak lagi boleh didiami.

“Keadaan semakin buruk setiap hari tanpa campur tangan antarabangsa yang sebenar untuk menyelamatkan rakyat Palestin daripada bahaya perpindahan, kebuluran, dan penyakit,” katanya lagi.  

Dalam pada itu, Datuk Bandar Rafah menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi kemanusiaan, dan badan antarabangsa untuk menyediakan sekurang-kurangnya keperluan asas bagi kehidupan yang bermaruah sebelum bencana ini berubah menjadi tragedi yang tidak terkawal.

“Masyarakat antarabangsa mesti bertindak segera untuk mendapatkan 40,000 khemah dan tempat perlindungan bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di bandar ini akibat pendudukan Israel. 

“Rafah sedang nazak, dan sebarang kelewatan dalam tindak balas adalah hukuman mati bagi ribuan keluarga yang telah kehilangan segalanya,” tambahnya.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, hampir 88 peratus infrastruktur di Gaza termasuk rumah, kemudahan penting dan perkhidmatan awam musnah akibat serangan rejim Israel.

Perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 19 Januari, menghentikan perang genosid Israel yang telah membunuh hampir 47,600 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta meninggalkan wilayah itu dalam kehancuran.  

Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.  

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas perangnya di wilayah tersebut.

Related Posts

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa ketua perisikan sementara yang baharu dilantik supaya memulakan tindakan memecat kakitangan. Perkara itu menambah kontroversi berhubung pelantikan individu tidak mempunyai pengalaman…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Israel rancang perluas 70 peratus wilayah Gaza, garisan kuning kian menghimpit

RANCANGAN Israel untuk meluaskan penguasaan ketenteraannya sehingga merangkumi 70 peratus wilayah Gaza mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan warga Palestin yang menyifatkan zon perlindungan sivik kini semakin mengecil dan tidak lagi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar tekankan kepentingan teknologi, nilai kemanusiaan dan tolak politik perpecahan

Anwar tekankan kepentingan teknologi, nilai kemanusiaan dan tolak politik perpecahan

Pembahagian kerusi PH Johor selesai, tunggu lampu hijau Anwar

Pembahagian kerusi PH Johor selesai, tunggu lampu hijau Anwar

Aminuddin kecewa dikhianati hingga DUN Negeri Sembilan dibubar

Aminuddin kecewa dikhianati hingga DUN Negeri Sembilan dibubar

Bantuan Kerajaan Persekutuan bukti komitmen PH bela kebajikan rakyat Johor – Aminolhuda

Bantuan Kerajaan Persekutuan bukti komitmen PH bela kebajikan rakyat Johor – Aminolhuda

Penolakan tawaran SUA MB Perlis buka ruang pelbagai tafsiran hubungan Pas-Bersatu

Penolakan tawaran SUA MB Perlis buka ruang pelbagai tafsiran hubungan Pas-Bersatu

RM90 juta untuk PRN Johor lebih baik disalur kepada rakyat – Dr Zaliha

RM90 juta untuk PRN Johor lebih baik disalur kepada rakyat – Dr Zaliha