
KUALA LUMPUR – Pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) yang baharu pada 15 Januari lalu, selaras usaha kerajaan memperkukuhkan keberkesanan komunikasi strategik dan pengurusan naratif dalam menyampaikan dasar, program serta inisiatif kerajaan kepada rakyat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, JKOM juga telah mengemas kini fungsi baharu jabatan selari dengan perubahan visi dan misi baharu agensi kerajaan tersebut.
“Perubahan visi dan misi ini telah dirangka dengan teliti bagi memastikan jabatan ini mampu memenuhi keperluan semasa dan cabaran masa depan.
“Antara fungsi baharu jabatan ialah memastikan maklumat berkaitan dasar kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan ke peringkat komuniti,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan sejauh manakah rombakan fungsi terhadap JKOM serta status pelantikan Ketua Pengarah JKOM baharu, Datuk Ismail Yusop.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan, fungsi JKOM juga turut diperkemaskan bagi memperkukuh hubungan antara kaum melalui program-program dan aktiviti-aktiviti yang dilaksana oleh jabatan kerajaan itu.
Jelasnya, dasar terbabit penting dalam memastikan kestabilan sosial serta mengurangkan konflik yang mungkin timbul akibat perbezaan pandangan.
“Perubahan visi, misi dan fungsi Jabatan dijajarkan semula bagi mencapai hala tuju baharu jabatan (JKOM) yang akan menekankan komunikasi inklusif dan efektif.
“Ia akan dilaksana dengan strategi yang menghargai kepelbagaian masyarakat, serta menggunakan pelbagai medium sebaran untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, The Malaysia Press (TMP) melaporkan JKOM berbesar hati menerima kedatangan bekas Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Ismail Yusop sebagai Ketua Pengarah baharu agensi itu.
Ismail yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Abah, menjawat jawatan itu bermula pada 15 Januari bagi menggantikan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Mohd Khairuddin Othman.
Beliau juga merupakan veteran PKR dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam arena politik dan pernah memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Tetap Kongres Nasional PKR seterusnya dilantik menjadi Senator Dewan Negara pada 13 Ogos 2018 sehingga 12 Ogos 2021 bagi mewakili PKR.
Menelusuri perjalanan politik Ismail, terutamanya selepas pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 secara tidak langsung menjadikan beliau antara tonggak utama Gagasan Madani.
Peranan beliau sebagai Pengarah Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) pada 2023, memberi keistimewaan bagi membawa perkembangan gagasan itu agar tersemat nadi dan jiwa masyarakat menerusi pelbagai inisiatif.
Meluaskan sayapnya di JKOM, Ismail mengambil tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pengarah dalam memberi penerangan dan pencerahan informasi yang kepada rakyat di saat pelbagai rintangan serta cabaran di jabatan itu.




