
PARIT – Sebanyak 12 buah motosikal musnah dalam kejadian kebakaran jam 3.39 pagi, di kawasan rumah, Jalan Kampung Tanjung Medan Layang Kiri, dekat sini, pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa atau kehilangan nyawa.
Ujarnya, 12 buah motosikal terbabit adalah empat jenis Yamaha LC, Yamaha Y15 (1), Honda Wave 110 (1), SRV (1), Modenas Kriss (1), Honda Wave 110 (1), Honda EX5 (2) dan Yamaha 135 LC (1).
“Dalam kejadian 3.39 pagi itu, sejurus mendapat panggilan, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit dikejarkan ke lokasi.
“Kita dapati 12 buah motosikal terbakar dan anggota kemudiannya melaksanakan size up, pemeriksaan dan pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada punca kebakaran berulang.
“Kejadian itu tidak melibatkan struktur dan tiada mangsa mengalami kecederaan,”katanya.
Walaubagaimanapun, ujar beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan.
Tambah Sabarodzi, operasi terkawal pada jam 4.10 pagi dan tamat sepenuhnya jam 4.52 pagi.







