
PUTRAJAYA – Prinsip Madani telah membawa nafas baharu dalam pendekatan diplomasi serantau, menjadikan nilai keadilan sosial, kelestarian, dan kesejahteraan sebagai teras hubungan Malaysia bersama ASEAN.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, dasar yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar visi untuk negara, tetapi inspirasi untuk ASEAN, sebuah rantau yang memimpin dengan nilai, bukan berpandukan kekuatan semata-mata.
Menurutnya, Malaysia yang merupakan negara pengasas dan barisan hadapan dalam membentuk ASEAN dilihat sentiasa memainkan peranan penting dalam perkumpulan serantau itu sejak ia ditubuhkan pada 1967.
“Sebagai negara pengasas, Malaysia banyak menyumbang kepada kejayaan ASEAN. Sebagai contoh, pada 1971, Malaysia mempelopori konsep Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) untuk memastikan rantau Asia Tenggara bebas daripada campur tangan kuasa besar.
“Pada 2015, ketika menjadi pengerusi, Malaysia menjadi penggerak utama kepada penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang menjadikan ASEAN sebagai pasaran tunggal. Namun, cabaran besar terus wujud, termasuk isu hak asasi manusia di Myanmar dan ketegangan di Laut China Selatan,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, pendekatan Malaysia Madani dilihat telah membawa dimensi baharu yang segar dan kritikal kepada ASEAN, selain peluang besar bagi negara menyerlahkan kebolehannya memimpin rantau ini bagi merealisasikan potensi pertubuhan tersebut sepenuhnya.
Dengan menyeimbangkan keutamaan domestik dan serantau, jelasnya, Anwar dilihat sebagai pemimpin yang mampu memacu ASEAN ke arah masa depan lebih inklusif, hijau, dan adil, selaras dengan aspirasi dalam membentuk rantau harmoni serta progresif.
“Di bawah visi Madani, Perdana Menteri memperkenalkan pendekatan inklusif yang menjadikan ASEAN lebih holistik. Ekonomi serantau yang saksama kini menjadi keutamaan dengan usaha memperkukuh perdagangan intra-ASEAN.
“Itu akan memberikan manfaat kepada semua anggota. Kelestarian alam sekitar juga diberi perhatian, dengan Malaysia menjadi suara utama dalam agenda hijau ASEAN, seperti tenaga boleh diperbaharui dan pengurangan karbon,” katanya.
Bagaimanapun, Nur Ashikin berpandangan isu kemanusiaan menjadi fokus terbesar yang harus diteliti secara terperinci oleh Perdana Menteri susulan beliau merupakan pemimpin dikenali dunia sebagai ahli politik yang lantang bersuara bagi menyelesaikan isu tersebut, khususnya konflik yang berlaku di negara Palestin dan Israel.
“Malaysia di bawah PMX. Beliau lantang menyuarakan penyelesaian segera kepada krisis Myanmar dan kebajikan pelarian Rohingya, mencerminkan komitmen kepada nilai keadilan sosial dalam Madani.
“Pendekatan terbabit membuktikan Malaysia tidak hanya bercakap soal ekonomi tetapi turut menjadikan hak asasi manusia sebagai keutamaan ASEAN,” katanya.

Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari, kali kelima memimpin kumpulan serantau ini sejak ia ditubuhkan pada 1967.
Lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadualkan berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Sebagai tuan rumah mesyuarat utama ASEAN, agenda kepengerusian Malaysia telah bermula dengan penganjuran Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang pertama di Langkawi minggu lalu, diikuti dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China di Kuala Lumpur, serta Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) di Pulau Pinang (Mei).
Acara lain yang berkaitan termasuk Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Johor (Februari), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), SOM ASEAN di Negeri Sembilan serta acara yang dinanti-nantikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, pada bulan Oktober.
Malaysia sebelum ini mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015


