KUANTAN – Kerajaan negeri meneruskan Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Tunas Makmur dengan memperuntukkan RM9 juta yang akan memberikan manfaat kepada 250,000 pelajar seluruh Pahang untuk sesi persekolahan tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insiatif itu merangkumi keperluan peralatan persekolahan bernilai RM100 seorang.
“Apa yang kita telah buat akan diteruskan dengan penambahbaikan di bawah jenama IM Pahang.
“Tahun ini kita peruntukkan sebanyak RM9 juta dan paling penting semua dapat,” katanya selepas perasmian Moh Karnival Makmur Tahun 2024 Peringkat Daerah Lipis di Dataran Koyan, dekat Sungai Koyan, Lipis, hari ini.

Katanya, bantuan berkenaan diberikan kepada semua murid Tahun 1 seluruh Pahang dan murid Tahun 2 hingga pelajar Tingkatan 5 dalam kategori miskin serta miskin tegar di negeri itu.
“Untuk Darjah 1 tahun ini, ibu bapa tidak perlu beli barang kelengkapan sekolah. Semua kerajaan negeri sediakan bagi tujuan membantu pendidikan pelajar di Pahang.
“Tentu sahaja program bantuan IM Pahang Tunas Makmur untuk memastikan anak-anak ke sekolah dalam keadaan lengkap untuk belajar,” jelasnya.



