
KINABATANGAN – Projek Koridor Makanan Gajah Kinabatangan Hilir seluas 33.35 ekar bernilai RM1 juta bagi lima tahun akan datang dibiayai sebuah organisasi dari Jepun iaitu Saraya Corporation.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew berkata, projek ini bagi menanam rumput di sepanjang tebing Sungai Kinabatangan bagi mewujudkan sumber makanan alternatif untuk gajah Borneo sekali gus membimbing pergerakan mereka menjauhi penempatan manusia dan kawasan pertanian.
Beliau berkata, kerajaan mengamanahkan ‘Responsible Elephant Conservation Trust’ (RESPECT) untuk mengambil peranan utama dalam mewujudkan koridor makanan gajah di Kinabatangan bermula di Kampung (Kg) Bilit.
“Kerjasama antara RESPECT dan Saraya Corporation menunjukkan kuasa kerjasama dalam menangani cabaran pemuliharaan yang kompleks.
“Visi Saraya Corporation untuk memupuk kelestarian alam sekitar sejajar dengan matlamat Sabah untuk memastikan khazanah alam kita dipelihara untuk generasi akan datang.
“Kerjasama ini menggariskan komitmen Sabah yang tidak berbelah bahagi untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan sambil melindungi biodiversiti uniknya,” katanya semasa melancarkan Projek Koridor Makanan Gajah Hiliar di Kg Bilit, pada Isnin.
Jelas Christina, kerajaan sepenuhnya komited menyediakan sokongan yang diperlukan bagi memastikan kejayaan projek ini selain menegaskan bahawa pemuliharaan tidak akan berjaya tanpa penyertaan dan pemilikan masyarakat tempatan.
“Dedikasi RESPECT memberi inspirasi untuk terus berusaha ke arah masa depan yang harmoni di mana manusia dan hidupan liar berkembang bersama.
“Bersama-sama kita dapat memastikan bahawa Koridor Kehidupan Kinabatangan terus menjadi tempat perlindungan hidupan liar dan sumber kebanggaan bagi semua rakyat Sabah,” katanya.
Menurutnya, di sepanjang Sungai Kinabatangan, dapat dilihat hampir semua tumbuh-tumbuhan di Kinabatangan adalah dikelilingi hutan semula jadi atau kelapa sawit.
“Oleh itu, di kawasan tebing sungai yang tidak mempunyai pokok, dirancang untuk menanam dan mengekalkan rumput.
“Penanaman jenis pokok ara liar sangat digemari gajah serta haiwan hidupan liar lain juga akan dipertimbangkan kelak,” tambahnya.
Pada majlis tersebut, Christina turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Pengusaha Pelancongan Kinabatangan-Koridor Kehidupan Sabah (KiTA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Bilit.




