Op Sky SPRM dedah kelompangan sistem kewangan negara, segera kenal pasti sindiket institusi perbankan

PUTRAJAYA –  Kegiatan sindiket pinjaman kewangan yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bukti korupsi dan penipuan bukan sahaja ‘mencederakan’ kepercayaan masyarakat, namun melemahkan sistem kewangan negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pendedahan kelulusan pinjaman mencecah RM700 juta menerusi Op Sky, baru-baru ini menunjukkan wujudnya kelompangan dalam kawalan dalaman membabitkan institusi perbankan tempatan.

“Penahanan tambahan pegawai bank menunjukkan skala penglibatan dalaman yang lebih luas. MCW menggesa SPRM memperluaskan siasatan untuk mengenal pasti rangkaian dalaman yang terlibat dan memastikan tiada pihak yang terlepas daripada tindakan undang-undang. 

“Institusi kewangan mesti mengukuhkan mekanisme pemantauan untuk mengesan dan mencegah manipulasi dokumen serta transaksi mencurigakan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Mengulas lanjut, Jais berpandangan sistem semakan dalaman perlu diperketatkan untuk memastikan integriti proses kelulusan pinjaman dan mencegah penyalahgunaan kuasa oleh kakitangan.

Katanya, ramai penjawat awam menjadi mangsa sindiket tersebut, berikutan tidak memahami secara terperinci risiko skim pinjaman dan pelaburan yang mencurigakan.

“MCW menyeru agar lebih banyak program pendidikan dan kesedaran dilaksanakan untuk memberi pendedahan tentang bahaya terjerat dalam sindiket seperti ini, selain mangsa perlu diberi sokongan melalui kaunseling kewangan dan bantuan guaman. 

“Kami bersedia menawarkan program latihan integriti dan bengkel pencegahan rasuah kepada institusi kewangan untuk memastikan kakitangan memahami tanggungjawab mereka dalam mencegah jenayah kewangan dan menyokong integriti sistem kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, Jais berkata, pihaknya merakamkan penghargaan atas tindakan proaktif SPRM dalam menyiasat secara terperinci terhadap kes tersebut

“MCW berharap siasatan dijalankan secara telus, menyeluruh dan adil untuk memastikan semua pihak yang bersalah, termasuk pihak yang melindungi sindiket ini, dihadapkan ke muka pengadilan. 

“Pihak kita komited untuk terus menyokong usaha membanteras rasuah melalui pendidikan, advokasi dan kerjasama strategik dengan pihak berkuasa serta masyarakat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan empat lagi pegawai bank bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.

Ia susulan kejayaan SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.

Mereka ditahan, termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan dan masing-masing seorang pengarah yayasan, pengurus serta bekas pengurus jualan institusi perbankan.

Siasatan awal mendapati ada pegawai di beberapa institusi perbankan menerima rasuah daripada pegawai syarikat perunding kewangan sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan pinjaman peribadi pelanggan yang dikenal pasti mempunyai hutang lapuk.

Modus operandi, pegawai bank mengenal pasti pelanggan terdiri penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk, seterusnya diperkenal kepada syarikat perunding kewangan yang akan menawarkan bantuan skim multiple loan.

Syarikat perunding kewangan terbabit dipercayai membantu menyediakan dokumen mengandungi maklumat palsu yang akan dihantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.

Hasil siasatan juga menunjukkan syarikat perunding kewangan itu akan mendahulukan wang kepada peminjam untuk melangsaikan hutang dan selepas pinjaman diluluskan, peminjam perlu membayar balik pendahuluan itu, manakala baki pinjaman dilaburkan dalam satu skim pelaburan.

Hasil Op Sky, SPRM membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta, selain menyita sembilan kenderaan pelbagai jenama terdiri Ferrari F8 Spider, Lexus RC300, Mercedes-Benz GLC43, BMW, Toyota Alphard, Mazda dan Honda.

Suruhanjaya itu turut menyita wang tunai lebih RM300,000, selain mata wang Hong Kong HKD95,000 (RM54,985), 17 jam tangan mewah dianggarkan lebih RM11.1 juta, lima unit beg tangan berjenama dianggarkan lebih RM430,000, lima set barang kemas dianggarkan lebih RM50,000 serta dua unit komputer riba dan dua unit tablet.

Related Posts

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memperkukuh tatakelola institusi berkenaan serta memastikan amanah umat Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

AYER KEROH – Kestabilan politik perlu terus dipelihara bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi negara, terutama ketika Malaysia berdepan ketidaktentuan geopolitik global, kata bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua. Beliau berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak