
SEMPORNA – Pulau Sibuan Taman Marin Tun Sakaran Semporna yang ditutup sementara susulan penemuan bom tinggalan Perang Dunia Kedua pada 7 Januari lepas akan dibuka semula pada Rabu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata pembukaan semula itu dibuat selepas bom lama berkenaan berjaya dimusnahkan penyelam ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sabtu lepas.
“Pulau Sibuan akan dibuka semula kepada pelancong pada 15 Januari 2025 sebaik sahaja polis dan pasukan keselamatan serta Taman-taman Sabah (TTS) selesai membuat kerja-kerja pembersihan dan pengumpulan sisa-sisa bom,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Isnin.
Menurut Christina, Pulau Sibuan sebelum ini ditutup apabila Pengawal Pantai TTS yang bertugas di Pulau Sibuan menjumpai objek menyerupai sebutir bom lama ketika melakukan aktiviti pemantauan dan pembersihan kawasan snorkeling di pantai Pulau Sibuan.
Katanya, tujuan TTS bertindak menutup sementara Pulau Sibuan daripada sebarang aktiviti pelancongan serta-merta adalah bagi memastikan keselamatan pelawat dan staf yang bertugas di pulau itu terjamin.
“Bagaimanapun, aktiviti pelancongan di pulau lain di taman marin itu seperti Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mantabuan berjalan seperti biasa,” tambahnya.





