
GAZA – Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, menafikan dakwaan Israel mengenai kehadiran pejuangnya di dalam sebuah hospital yang diserbu oleh tentera Israel di utara Semenanjung Gaza.
Tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan di bandar Beit Lahia pada hari Jumaat, membakar sebahagian besar bangunan dan memaksa pesakit serta orang awam yang berlindung melarikan diri.
Tentera itu mendakwa bahawa serbuan terhadap kemudahan perubatan itu bertujuan untuk menyasarkan pejuang Hamas yang berada di dalam hospital.
“Kami secara tegas menafikan kehadiran pejuang kami di hospital, yang terbuka kepada semua pihak, termasuk agensi antarabangsa dan PBB,” kata Hamas dalam satu kenyataan.
Kumpulan itu berkata bahawa dakwaan Israel bertujuan untuk membenarkan jenayah keji yang dilakukan oleh tentera penjajah dengan mengosongkan dan membakar semua bahagian hospital sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk melakukan genosid dan pemindahan paksa.
Hamas menyeru Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB) untuk membentuk panel siasatan bagi menyiasat jenayah Israel di utara Gaza, yang sedang menyaksikan rancangan penuh untuk pembasmian dan pemindahan.








