
PUTRAJAYA – Tindakan terbaharu Kerajaan Negeri Kelantan mewajibkan pensijilan halal dilihat lebih kepada mahu bersikap bertentangan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan, yang memberi kebebasan kepada pengusaha untuk membuat pilihan sama ada mahu mendapatkan sijil halal atau tidak.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, dasar itu membuktikan
Pas lebih cenderung mengenakan peraturan kepada peniaga kecil, namun memihak kepada syarikat balak dan perlombongan besar yang mencemarkan alam sekitar di Kelantan.
“Tindakan itu bertentangan dengan dasar Kerajaan Persekutuan yang membenarkan pengesahan halal secara sukarela, tidak bertapak kepada realiti masyarakat majmuk di Malaysia, dan juga bertentangan dengan nilai ketidakpaksaan dalam Islam.
“Saya menyeru Kerajaan Kelantan menarik balik arahan kontroversi tersebut. Kerajaan Negeri (Kelantan) harus memberi ruang kepada pengusaha untuk memilih tanpa paksaan, sekaligus membantu mengurangkan beban ekonomi yang sudah cukup berat dalam kalangan rakyat dan perniagaan kecil,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Apa yang membimbangkan, Chean Chung berkata, keputusan terbabit bukan sahaja merugikan pengusaha kecil makanan dan minuman (F&B) berbilang kaum, tetapi turut membebankan rakyat Kelantan yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran ekonomi.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR menegaskan, langkah itu mewujudkan kecenderungan bebanan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS), berikutan golongan itu tidak memiliki modal mencukupi, pengetahuan terhad, serta pulangan lambat dalam kos persijilan mereka hasil daripada pasaran yang kecil.
“Sudah lebih 50 tahun negara kita mengamalkan sistem di mana pengesahan halal dijalankan secara sukarela oleh pengusaha, dan hal ini terbukti tidak menjejaskan mutu makanan serta pembangunan industri halal Malaysia.
“Malah, seperti yang dipetik dalam penggulangan perbahasan Parlimen, saya bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Ekonomi dan Kewangan, industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan mencapai 8.1% bersamaan RM137.6 bilion pada tahun 2025.
“Pencapaian terbabit merupakan satu kejayaan yang dibanggakan oleh negara-negara sedunia dan terbukti berkesan dengan pendekatan sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Kelantan bakal menjadi negeri pertama di Malaysia mewajibkan pensijilan halal bagi pemilik dan pengusaha premis berasaskan F&B yang beroperasi di negeri itu.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, berkata setakat ini pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), mewajibkan perkara tersebut.
Ketika ini, pensijilan halal untuk pengusaha F&B di Malaysia adalah bersifat sukarela sejak Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dilaksanakan pada 1974.
Sebelum ini, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) membantah keputusan Kerajaan Negeri Kelantan yang mewajibkan pensijilan halal di kalangan pengusaha F&B.







