KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntukkan insentif hampir RM1 juta untuk menghargai kejayaan pelajar dan sekolah di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seramai 705 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh semua A; Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan mendapat Mumtaz Suffi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 – menerima RM1,000 setiap seorang.
Menurutnya, kerajaan negeri juga berbesar hati memberikan penghargaan kepada 53 buah sekolah yang membuktikan kecemerlangan dalam peperiksaan awam serta menyumbang kepada kejayaan untuk Pahang.
“Kerajaan negeri Pahang meraikan pelajar cemerlang yang mendapat semua A sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berusaha sehingga cemerlang.
“Kita juga meraikan ibu bapa yang turut hadir kerana kita tahu kejayaan anak-anak ini bukan semata-mata kerana anak-anak, banyak faktor.
“Selain anak-anak tadi, ibu bapa, persekitaran sekolah, cikgu-cikgu dan kerajaan negeri turut membantu,” katanya.
Ujar Wan Rosdy, pemberian inisiatif pada tahun depan kemungkinan akan diteruskan namun ia bergantung kepada kestabilan ekonomi dan politik di negeri ini.
“Insya-Allah kalau kedudukan ekonomi kita baik, kestabilan politik ada, kita mempunyai masa untuk menumpukan kepada pentadbiran.
“Macam saya katakan tadi perlunya kestabilan politik, diiringi dengan kestabilan kewangan, yang mendapat manfaat ialah rakyat negeri Pahang.
“Seperti mana yang sering saya katakan bahawa lebihan daripada hasil yang kita dapat ini akan kita kembalikan kepada rakyat Negeri Pahang. Ini adalah salah satu sahaja banyak lagi yang lain-lain,” jelasnya.




