MANJUNG – Dua beranak maut manakala empat lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Lebuhraya Pantai Barat (WCE) arah Selatan, awal pagi Khamis.
Mangsa maut dikenali sebagai Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24, dan anak lelakinya dianggarkan berusia 2 tahun.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan yang berlaku sekitar jam 5.15 pagi itu melibatkan dua buah kereta jenis Proton Wira dan Perodua Kelisa.
Ujarnya, sejurus menerima panggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar bergerak ke lokasi.
“Setibanya dilokasi, terdapat dua mangsa di dalam kereta Proton Wira manakala empat termasuk dua kanak-kanak menaiki kereta Perodua Kelisa.
“Dua daripada enam mangsa maut iaitu ibu dan seorang anak lelakinya manakala empat lagi mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Perodua Kelisa dinaiki empat orang iaitu Mohammad Shuqur Ahmad, 24, Nor Fadhilah, bersama dua lagi anak lelaki mereka.
Manakala dua mangsa lelaki menaiki Proton Wira yang cedera iaitu Ahmad Aizat Khalid Abd Manan, 27 dan Mohammad Iqbal Tamsir, 31.
Ujar Sabarodzi, kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Manjung dan mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.10 pagi,” katanya.



