KUANTAN – Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Benta yang menelan belanja RM4.5 juta memberi kemudahan kepada kira-kira 30,000 penduduk di sekitar pekan Benta dan kampung tradisional bersempadan dengan daerah Lipis dan Raub selain pengguna laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan BBP itu amat dinantikan memandangkan sebelum ini penduduk menghadapi kesukaran apabila berlaku kejadian kecemasan memandangkan BBP terdekat terletak kira-kira 30 kilometer.
“Kejadian kecemasan ini bukan bermakna kebakaran sahaja, sebab kita tahu pasukan bomba ini adalah yang paling terdahulu (sampai) di lokasi apabila berlaku kemalangan dan banjir atau bencana lain seperti tanah runtuh.
“Maknanya jika berlaku kejadian (kemalangan) di LTU sebagai contoh, pasukan bomba boleh digerakkan ke lokasi dan tiba dengan lebih cepat berbanding sebelum ini perlu tunggu bantuan dari BBP Raub dan Lipis.
“Justeru, saya harap pembinaan BBP Benta boleh disiapkan lebih awal daripada jadual, walaupun tempoh (diberikan) setahun setengah (18 bulan), tetapi kalau boleh siap dalam masa setahun lagi bagus,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah BBP Benta di pekan Benta dekat Lipis, hari ini.
Beliau berkata, BBP Benta adalah projek pembinaan balai bomba Kategori D di atas tapak berkeluasan 3.022 hektar
Ia akan dilengkapi ruang jentera, padang kawad dan menara, stor logistik serta kemudahan lain.







