PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan komitmen teguh kerajaan dalam menggerakkan agenda reformasi negara.
Perdana Menteri dalam masa sama mengecam pihak yang tunduk kepada pemimpin zalim dan korup sebelum ini, namun menuduh kerajaan gagal melaksanakan reformasi dalam tempoh dua tahun.
“Saya tidak setuju dengan mereka, sebahagian mereka tidak berkata apa-apa mengenai rasuah sebelum ini. Anda mahu kami melakukan perubahan?
“Saya sudah mulakan dengan tadbir urus yang baik. Saya telah pastikan tiada menteri atau pemimpin kerajaan boleh mempengaruhi keputusan proses tender. Pada saya ini sangat penting.
“Saya tak boleh cakap mengenai apa yang berlaku 10 tahun dulu, tetapi saya jamin dalam dua tahun kebelakangan ini kami tidak tunduk atau bertolak ansur dengan perkara ini (rasuah),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran buku bertajuk ‘Lim Kit Siang: Malaysian First’ Volum 1 dan 2, di Ipoh, malam tadi.
Anwar turut mengaitkan ketamakan dan ‘rompakan’ dalam negara dan kelemahan sistem pentadbiran sebelum ini.
Beliau turut menekankan kepentingan kerajaan sekarang untuk kekal kuat sambil memberi amaran kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kembalinya ketaasuban kepada perkauman dan agama.





