
ISU kedaulatan Pulau Batu Puteh sejak mutakhir ini semakin hangat diperkatakan. Masakan tidak? Pendedahan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 5 Disember lalu telah mengejutkan semua pihak.
Bak kata pepatah, harapkan pegar, pegar makan padi. Tindakan secara senyap oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menarik balik semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tanpa sebarang rundingan dan pandangan pelbagai pihak ibarat mengkhianati tanah air.
Di saat semua pihak meletakkan kepercayaan kepada beliau bagi memperjuangkan hak tempat bersejarah itu, bekas pemimpin tersebut telah sewenang-wenangnya menggadaikan lokasi khazanah itu.
Mungkin ada antara individu menganggap perjuangan Pulau Batu Puteh bukanlah suatu hal yang penting. Malah, ada yang dangkal ilmunya menyelar perdebatan di antara kerajaan dan individu bertanggungjawab menggadaikan kedaulatan pulau tersebut.
Mengulas lanjut tentang isu berkenaan, Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ), Mohammad Alif Datuk A Rahim berkata, terdapat beberapa faktor utama mengapa Malaysia mendambakan Pulau Batu Puteh.

Menurut beliau, sejarah jelas membuktikan bahawa pulau berkenaan adalah sebahagian daripada wilayah Johor sejak zaman Kesultanan Johor-Riau.
“Boleh lihat dan belajar semula sejarah yang mana sememangnya lokasi itu memang milik tanah air ini. Tiada asas untuk menyerahkan kedaulatan kepada pihak asing dan justeru, hak Johor wajib ditegakkan tanpa kompromi.
“Selain itu, ia juga lokasi strategik yang kritikal. Pulau Batu Puteh terletak di kawasan Selat Melaka yang merupakan laluan utama maritim dunia. Kehilangan kawalan terhadap pulau ini mengancam keselamatan perairan Johor dan Malaysia serta melemahkan kedudukan geopolitik negara di rantau ini,” katanya kepada The Malaysia Press.
Menurut beliau, tergadainya lokasi berkenaan ibarat tergadai juga maruah dan kedaulatan negara.
“Pulau ini adalah simbol kedaulatan dan kebanggaan negeri Johor. Kehilangannya adalah tamparan kepada maruah rakyat Johor dan Malaysia. Sebagai sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia, Johor berhak mempertahankan setiap inci wilayahnya.
“Tindakan tidak bertanggungjawab pada tahun 2018 telah mengorbankan hak Johor dan kedaulatan Malaysia. Kesilapan ini mesti diperbetulkan dengan segera melalui usaha diplomatik dan undang-undang yang tegas,” katanya.

Tambah Mohammad Alif, tindakan tidak bertanggungjawab oleh pemimpin berkenaan akan memberikan kesan kepada generasi akan datang.
Katanya, kegagalan menuntut semula hak ini akan meletakkan generasi masa depan dalam situasi yang lemah dan hal itu tidak boleh dibiarkan berlaku.
“MBNJ menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Alhmarhum Sultan Iskandar dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang berusaha gigih memastikan kedaulatan dan hak negeri Johor terus dipertahankan.
“Keprihatinan baginda berdua menjadi pemangkin semangat kepada seluruh rakyat Johor untuk bangkit mempertahankan hak ini,” katanya.





