
Oleh: Husna Irdina (Pelatih UPM)
BANTUAN Awal Persekolahan (BAP) 2025 akan diteruskan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM800 juta, perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen, Oktober lalu.
Inisiatif ini bakal memberi manfaat kepada 5.2 juta murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya, tanpa mengambil kira pendapatan ibu bapa. Dengan peningkatan kos barangan dan pendidikan pada masa ini, bantuan ini diharap dapat memberi sokongan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana untuk membuat persiapan persekolahan tahun hadapan.
Pengenalan Bantuan Awal Persekolahan (BAP)
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) mula diperkenalkan pada tahun 2012, bertujuan untuk meringankan beban kewangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah. Kadar BAP pada permulaan pelancaran bantuan itu adalah berjumlah RM100 untuk setiap murid dan ia hanya diberikan kepada keluarga dengan isi rumah kasar RM3,000 dan ke bawah.
Namun, pada tahun 2023, kadar BAP telah dinaikkan kepada RM150 untuk setiap murid tanpa mengambil kira pendapatan dan inisiatif ini diteruskan oleh Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kadar Bantuan BAP 2025
Murid yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM150.00 seorang secara sekaligus (one-off).
Kriteria/ Syarat Kelayakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP)
Pengagihan BAP kepada murid-murid dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
- Murid warganegara Malaysia;
- Murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya bagi Sesi Persekolahan 2025/2026; dan
- Murid bersekolah di:
- Sekolah Kerajaan (SK)
- Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK)
- Sekolah Agama
- Sekolah Swasta Persendirian yang berdaftar dengan kerajaan
- Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih
- Sekolah Integriti
- Sekolah Henry Gurney
Kaedah Penyaluran Bantuan
Mulai tahun 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperluas kaedah agihan BAP melalui kaedah kredit ke akaun ibu bapa atau penjaga yang sah. KPM juga tidak menetapkan sebarang bank tertentu bagi tujuan agihan BAP secara kredit ke akaun bank.
Bantuan akan disalurkan oleh KPM secara berperingkat, terus ke:
- Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah; ATAU
- Akaun Khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai akaun KWK
Pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dibuat sama ada secara:
- Tunai; ATAU
- Disalurkan terus ke akaun bank murid
Tarikh Penyaluran BAP 2025
Tempoh agihan bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi persekolahan 2024/2025 ialah 30 hari dari tarikh surat makluman penyaluran peruntukan dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan, KPM.
Manakala tempoh agihan bagi murid Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 ialah 30 hari dari tarikh sesi persekolahan bermula.
Maklumat terperinci berkenaan dengan tarikh penyaluran BAP 2025 akan dimaklumkan oleh sekolah masing-masing.
Borang BAP 2025 Untuk Pengesahan Pilihan Kaedah Terimaan
Pihak sekolah akan menetapkan kaedah pembayaran kepada setiap murid.
Bagi sesetengah sekolah, murid atau ibu bapa tidak perlu membuat permohonan kerana semua murid layak dan pemberian ini tidak melihat kepada data pendapatan ibu bapa dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).
Umumnya, pihak sekolah hanya akan mengedarkan borang pengesahan seperti berikut:

Maklumat Lanjut
Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan Bantuan Awal Persekolahan 2025 (BAP), anda boleh rujuk pada pautan berikut:
- Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia:
https://www.moe.gov.my/
- Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia:
https://www.facebook.com/KemPendidikan
- Instagram Kementerian Pendidikan Malaysia:
https://www.instagram.com/kempendidikan






