SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu menyumbang dua tan metrik beras dan 0.80 tan metrik minyak masak kepada 400 mangsa bencana banjir di negeri itu.
Pengarahnya, Awg Ruslli Mohammad berkata, sumbangan beras dan minyak masak serta barangan keperluan asas lain yang setiap satu bernilai RM150 disampaikan kepada 400 keluarga yang terkesan banjir gelombang pertama, akhir bulan lalu.
Katanya, sumbangan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir itu diagihkan Skuad Ihsan Madani dan Gerakan Koperasi Terengganu (Kopter) di lima daerah di negeri berkenaan.
“Kita akan sampaikan sumbangan kepada 100 mangsa banjir di daerah Kemaman, Dungun dan Besut, manakala 50 di daerah Kuala Terengganu dan Setiu.
“Misi bantuan SKM Terengganu dan Kopter diwujudkan sebagai menyahut seruan kerajaan mempergiatkan pembabitan penjawat awam dan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai sukarelawan banjir,” katanya.
Terdahulu, Awg Ruslli melepaskan konvoi misi bantuan banjir di pekarangan Wisma Persekutuan di Kuala Terengganu, pagi tadi.
Mengulas mengenai jumlah koperasi terjejas banjir, Awg Ruslli memberitahu Berita Harian, sebanyak 31 daripada 828 koperasi berdaftar di seluruh Terengganu terkesan dengan banjir memohon bantuan untuk mengaktifkan semula aktiviti.
Katanya, SKM negeri dan kerjasama Kopter mengeluarkan bantuan daripada tabung kecemasan sebanyak RM30,000 kepada 17 koperasi, manakala permohonan 14 lagi sedang dalam proses kelulusan.







