Muhyiddin bersikap ‘ada udang di balik batu’, Pas lebih layak calon PM

KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin tertinggi Pas meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila Bersatu ‘tanpa segan silu’ mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut sumber, tindakan itu melampaui batas dan seharusnya Bersatu cermin diri bahawa pergolakan dalaman melanda parti itu menyebabkan mereka sudah semakin ditolak orang Melayu berbanding kematangan yang diamalkan Pas dilihat lebih ke hadapan, selain mempunyai jentera lebih ‘solid’ dan kukuh.

Jelasnya, perkara itu terbukti apabila PN mengalami kekalahan pada setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) jika calon pembangkang terdiri daripada Bersatu dan sudah dapat diramalkan pembangkang akan mengalami kekalahan sekiranya jentera dipimpin oleh Setiausaha Agung Bersatu yang baharu, Datuk Seri Azmin Ali.

“Jangan bersikap lebih sudu dari kuah. Kenyataan Bersatu ini, ramai pemimpin tertinggi Pas tidak berpuas hati. Kamu cermin diri dulu yang Pas lebih banyak kerusi di Parlimen berbanding Bersatu selain kami sudah memerintah empat negeri. Kamu apa yang ada?

“Sikap ego Bersatu inilah menyebabkan PN semakin ditolak rakyat.  Mereka sekarang berada pada titik pengaruh politik paling lemah. Mana tidaknya, ramai pemimpin utama dan ahli keluarga mereka terpalit dengan pelbagai kes mahkamah termasuklah Presidennya iaitu Tan Sri (Muhyiddin).

“Bersatu juga kini sedang mengalami ‘dehidrasi politik’ yang sukar untuk kembali kuat dalam tempoh terdekat atau tidak relevan diterima masyarakat kerana tiada kekuatan prinsip dan perjuangan konsisten sehingga ada ahli Parlimennya sanggup berpaling tadah,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press, hari ini.

Dalam pada itu, sumber menegaskan, kepimpinan Pas juga melahirkan kekecewaan apabila Bersatu bertindak ego apabila lebih mengutamakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) berbanding bersama turun padang membantu mangsa banjir di negeri yang ditadbir oleh pembangkang.

“Pemimpin tertinggi Kerajaan Perpaduan dilihat lebih matang, mengetepikan perbezaan politik dalam membantu rakyat yang terjejas banjir di negeri yang dipimpin Pas. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat lebih memikirkan nasib orang ramai berbanding Muhyiddin, parti komponen kita yang dilihat membisu apabila rakyat di bawah sedang mengalami kesusahan.

“Lantaran itu, Bersatu jangan lagi membakar benda perkara yang tidak sepatutnya. Selesaikan terlebih dulu masalah dalaman parti dan menambah bilangan kerusi yang boleh dimenangi mereka dalam PRU akan datang sebelum berebut mahu jadi calon Perdana Menteri berbanding Pas,” katanya.

Perkara itu turut diakui oleh Pemuda Pas yang mempersoal tindakan beberapa pimpinan parti komponen dalam PN yang disifatkan ‘gelojoh’ kerana terlalu awal mencadangkan calon Perdana Menteri mewakili gabungan itu.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, tidak wajar Bersatu umumkan secara terbuka memandangkan ia belum dibincangkan dalam kalangan pucuk pimpinan parti dalam PN.

“Mursyidul Am Pas (Datuk Hashim Jasin) menyatakan apa yang beliau rasa dan itu adalah pandangan beliau. Kenapa perlu suruh diam. Kalau suruh diam, maka jangan ada mana-mana pimpinan PN terutama Gerakan sebut berkenaan siapa calon Perdana Menteri yang telah dicadangkan, sedangkan ia belum dibincangkan di mana-mana peringkat untuk PRU akan datang.

“Maka saya patahkan balik perkataan itu (minta diam) kepada kamu yang mungkin agak gelojoh mengumumkan benda yang tidak dibincangkan lagi. Sebarang keputusan perlu kepada penelitian dan perbincangan, selain keperluan mengambil kira buah fikiran dalam kalangan pemimpin muda, wanita atau teknokrat.

“Tidak dinafikan jasa dan kehebatan Muhyiddin dan seluruh Kabinetnya sebelum mentadbir negara yang berhadapan dengan konflik politik, ekonomi dan kesihatan, namun perubahan dan edaran zaman yang penuh cabaran ini mungkin memerlukan formula berbeza. Inilah cara dan jati diri PN,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri mewakili PN pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, Hashim dalam satu kenyataan menegaskan, Pas lebih layak memimpin PN, sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin kekal sebagai calon Perdana Menteri mewakili gabungan itu.

Walaupun Muhyiddin menyatakan Pas berhak menuntut jawatan Perdana Menteri namun beliau bersikap ‘ada udang di balik batu’ yang menyatakan keputusan itu akan dimuktamadkan menerusi perbincangan pemimpin tertinggi PN.

Related Posts

RCI TH bukan sekadar ‘laporan atas kertas’, tindakan penguatkuasaan perlu dipertingkat

PUTRAJAYA – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bukanlah pengganti kepada siasatan jenayah dan pembuktian di mahkamah, namun memberikan asas kukuh untuk penyiasatan menyeluruh, bebas dan profesional. Presiden Pertubuhan Asas Bina…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RCI TH bukan noktah, siasatan lanjut perlu pastikan semua persoalan terjawab

LAPORAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dianggap sebagai noktah, sebaliknya sebarang persoalan yang masih belum terjawab perlu disusuli siasatan lanjut. Penganalisis ekonomi, Prof Profesor Emeritus…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RCI TH bukan sekadar ‘laporan atas kertas’, tindakan penguatkuasaan perlu dipertingkat

RCI TH bukan sekadar ‘laporan atas kertas’, tindakan penguatkuasaan perlu dipertingkat

RCI TH bukan noktah, siasatan lanjut perlu pastikan semua persoalan terjawab

RCI TH bukan noktah, siasatan lanjut perlu pastikan semua persoalan terjawab

Dadah ditemukan dalam lokap, konstabel ditahan bantu siasatan

Dadah ditemukan dalam lokap, konstabel ditahan bantu siasatan

Tiba masanya Perdana Menteri ‘rawat’ FELDA, MARA

Tiba masanya Perdana Menteri ‘rawat’ FELDA, MARA

Curi tong gas untuk beli dadah, tiga lelaki ditahan

Curi tong gas untuk beli dadah, tiga lelaki ditahan

Harmony Walk 2026 di Kuching Waterfront ditangguh akibat kualiti udara merosot

Harmony Walk 2026 di Kuching Waterfront ditangguh akibat kualiti udara merosot