
KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya parti-parti politik menubuhkan sekolah politik mereka sendiri yang berasaskan kerangka pembinaan negara yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, setiap parti politik harus memainkan peranan penting dalam memberikan pendedahan politik secara holistik bagi melahirkan pemimpin yang berkaliber dan berkualiti.
Menurutnya, ia perlu diberi keutamaan berikutan politik merupakan perkara universal, selain nilai tambah yang perlu dipelajari anak muda agar menjadi aset serta platform dalam memperkasakan kematangan demokrasi di Malaysia.
“Nilai-nilai pembelajaran harus diketengahkan yang bukan bersifat kepada kepartian, kepentingan parti namun membina nilai tambah politik negara. Tidak salah untuk mana-mana parti politik seperti UMNO menubuhkan sekolah politik, dengan syarat ia berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
“Ia perlu mempunyai nilai tambah, selain membina satu bentuk demokrasi matang, baik buat negara khususnya pengundi 18 dan golongan belia. Dasar politik negara harus diperkemaskan agar lebih stabil dan mempunyai manfaat yang dibanggakan dalam demokrasi yang cukup aman, matang dan sempurna,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui selepas Program Diwan Informasi di ST Giles Boulevard Hotel, pada Khamis.

Terdahulu, UMNO akan memulakan sekolah politik yang akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula awal tahun hadapan.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO, baru-baru ini.
Bagaimanapun, pakar perang saraf itu berpandangan, tiada keperluan untuk memperkenalkan pendidikan politik di sekolah, berikutan ia mampu menyebabkan keadaan menjadi lebih tidak menentu.
Noor Nirwandy yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM berkata, politik adalah sesuatu yang tidak boleh diberi penekanan serta dipelajari secara terperinci pada usia tersebut.
“Tidak wajar diperkenalkan di peringkat sekolah yang diselaras oleh Kementerian Pendidikan (KPM), banyak lagi kanak-kanak boleh pelajari. Boleh diberi pendedahan tetapi tidak boleh diberi penekanan disebabkan politik merupakan tanggungjawab sosial yang perlu difahami secara teliti, selaras perkembangan zaman.
“Pemahaman tentang cakna politik itu lebih baik. Mungkin sudah tiba masanya, sekolah-sekolah politik diberi tanggungjawab, diselaras parti politik oleh pemimpin bagi menceritakan kepentingan memahami politik agar ia mampu menjadi perkara terbuka berasaskan kerangka pembinaan negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya.
Pada bulan lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO akan menubuhkan sekolah politik di bawah Biro Latihan dan Perkaderan UMNO.
Ia akan diketuai Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sekolah politik itu akan menyediakan teori dan amali kepimpinan yang ditubuhkan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) di Janda Baik, Bentong.





