SIKAP Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’ apabila menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘bersilat’ ketika menjawab soalan mengenai lawatan rasminya ke beberapa negara.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Lokman Noor Adam membidas Muhyiddin dengan mengatakan pepatah itu cukup sesuai ditujukan kepada beliau yang selalu menganggap diri sendiri suci, manakala pihak lain dilihat buruk atau kotor.
Lokman berkata, antara pepatah lain yang sesuai untuk Muhyiddin adalah ‘meludah ke langit, muka juga yang basah’ berikutan adalah justifikasi bersesuaian dengan karakter Presiden Bersatu itu.
Katanya, Muhyiddin hanya sekadar menggunakan media sebagai alat propaganda politik kotor dan akhirnya terperangkap dalam jerat sendiri.
“Sebelum Muhyiddin menuduh Perdana Menteri ‘bersilat’ kononnya untuk lepaskan dari perangkap sendiri, beliau seharusnya melihat balik permainan ‘silat’ beliau sendiri semasa berceramah di DUN Nenggiri sehingga membuka rahsia di mana ‘duit rasuah’ masuk ke akaun parti sendiri dan lebih buruk permainan ‘silat’ tersebut mengaitkan Institusi Diraja.
“Di dalam hal ini, yang ‘bersilat’ adalah kamu (Muhyiddin). Kamu bermain dengan emosi dan persepsi untuk ‘menegakkan benang yang basah’.
“Konon kamulah terpaling suci. Kamu gunakan platform tidak rasmi (pentas politik) untuk sebarkan propaganda kamu sendiri. Akhirnya kamu terperangkap dengan ‘silat’ yang kamu ciptakan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut membidas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berhubung penjelasannya mengenai perkara itu dan memberikan supaya tidak menjadi ‘bodoh’.
Mengulas lanjut, beliau sekali lagi menyangkal Muhyiddin, perkara ini berbeza sekali dengan Anwar kerana beliau (Perdana Menteri) dan pihak kerajaan menjelaskan fakta dan memberikan penjelasan kepada umum di platform rasmi iaitu Dewan Negara dan Sidang Media Jurucakap Kerajaan Perpaduan.
Muhyiddin juga berkata, beliau tidak pernah membawa anak-anaknya menaiki penerbangan rasmi semasa menjadi perdana menteri.
“Jika betul, kamu (Muhyiddin) tidak pernah membawa anak-anak menaiki kapal terbang untuk acara rasmi kerajaan di luar negara kerana mungkin mereka mampu membiaya kos menyewa jet persendirian mereka sendiri.
“Tetapi bagaimana pula ahli keluarga kamu khususnya menantu kamu yang perolehi laba (keuntungan) semasa kamu jadi Perdana Menteri dahulu? Paling malang, menantu kamu ini telah menghilangkan diri dan lari dari siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kini.
“Selain itu, janganlah pula kamu (Muhyiddin) hendak bandingkan anak-anak kamu dengan anak Perdana Menteri (PMX). Anak Perdana Menteri mendapat jemputan pihak penganjur dan jemputan tersebut adalah atas kapasiti sebagai Pengarah Social & Economic Research Initiative (SERI) serta bersekali dengan jemputan yang diterima oleh Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah, Pengerusi Institute of Strategic & International Studies (ISIS).
“Mungkin jika anak kamu dapat undangan untuk menyanyi, kamu juga akan membawa mereka sama,” katanya.





