
KEPERIBADIAN dan karisma Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan hanya sebagai seorang pemimpin tetapi beliau layak digelar pejuang dengan ideologinya yang tersendiri.
Sosok gagah ini telah melalui pelbagai liku-liku perjalanan yang getir sebelum dilantik secara rasmi menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November 2022.
Kini, era pemerintahan Kerajaan Madani dibawah Anwar genap dua tahun.
Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam berkata, kredibiliti dan kesempurnaan Anwar tidak lagi boleh disangkal dengan pengalamannya sebagai seorang pemimpin sejak usia remaja lagi.
“Anwar seorang pemimpin yang mempunyai karisma lebih kuat daripada Mahathir kerana beliau adalah seorang pejuang dan naik menjadi Perdana Menteri bukan melalui jalan yang mudah serta berliku.
“Beliau sudah memimpin badan bukan kerajaan (NGO) sudah terlalu banyak. Jadi masyarakat sekeliling sudah sebati dengan karisma seorang Anwar. Diperingkat antarabangsa pula Anwar pandai berdiplomasi serta meyakinkan orang.
“Beliau juga mempunyai pegangan agama yang kuat, bagi saya Anwar cukup ‘perfect’ untuk menjadi seorang pemimpin negara. Cuba letakkan Muhyiddin atau Ismail Sabri… tidak boleh,” katanya kepada The Malaysia Press.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Perdana Menteri ‘pantang dicabar’ dan sedia menempuh pelbagai cabaran serta terbuka dalam menerima sebarang kritikan.
Katanya, jika diteliti pemerintahan dua tahun kerajaan Madani, Anwar juga mempunyai sikap berterus-terang dan meletakkan Islam sebagai prinsip utama dalam memimpin rakyat Malaysia.
“Mana-mana kerajaan sekalipun tetap mempunyai cabaran. Kerajaan akan cuba melakukan yang terbaik tetapi pembangkang tetap membangkang serta mencari salah. Jadi… rakyat harus berfikir adakah betul tohmahan yang dilemparkan. Rakyat perlu cerdik dan menggunakan emosi.
“Saya tak taasub pada Anwar, walaupun tak kenal secara peribadi tetapi saya melihat apa yang beliau lakukan dan pemimpin yang baik sentiasa akan bersendikan ajaran Islam.
“Justeru, gabungan Kerajaan Perpaduan ini adalah untuk melahirkan satu kekuatan walaupun pelbagai parti tetapi dalam nada yang sama demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Perdana Menteri, yang genap dua tahun menerajui kerajaan pada hari ini meneruskan agenda negara dengan mengadakan lawatan kerja ke Korea Selatan.
Lawatan itu penting bagi memastikan kerjasama strategik antara kedua-dua negara dapat terus diperkukuhkan.
Perdana Menteri akan turut menyaksikan pemeteraian beberapa MoU melibatkan kementerian serta agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Sementara itu Anwar berkata, sempena dua tahun pemerintahan Kerajaan Madani, Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 hingga 24 Nov (hari ini).





