KUANTAN – Seorang guru lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang berhampiran jeti Chenor, dekat Maran, ketika memancing, lewat petang tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.39 petang.
Menurutnya, 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama empat jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Bukit Angin telah diminta bersedia untuk hadir ke lokasi kejadian.
“Komander operasi turut melaporkan membuat kerja pencarian di permukaan di lokasi dengan menggunakan bot bomba dan bantuan bot orang awam,” katanya.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut disertai anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Maran melaporkan, mangsa dikenali sebagai Murdani Ab Rahman, 53, yang juga seorang guru disedari terjatuh ke dalam sungai oleh orang awam.






