
SEDAR atau tidak, serangan bertubi-tubi ke atas Kerajaan Perpaduan sekarang lebih terarah kepada Perdana Menteri (PM).
Selaku ‘De Facto’ – tanggapan musuh ke atasnya – Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) diserang dari kiri kanan; atas bawah tanpa mengira mengena atau tidak ‘peluru’ itu.
Kecenderungan itu sangat jelas akhir-akhir ini, barangkali mahu meletihkan DSAI selaku PM Kesepuluh (PMX) yang kian menyerlah di pentas antarabangsa.
Yang menyerangnya bukan musuh luar sebaliknya rakyat Malaysia sendiri; rata-ratanya Melayu Islam yang pendek akal.
Dirangsang oleh kebencian melampau sebahagian pemimpin pembangkang, serangan itu disemarakkan oleh pempengaruh; diperluas oleh pejuang mereka yang keliru dalam mentakrifkan maksud ‘perjuangan’.
Bagi mereka, Kerajaan Perpaduan khasnya PMX merupakan ‘sasaran jihad’ kerana kononnya berpura-pura menyokong Palestin.
Mereka melancarkan serangan psikologi supaya rakyat negara ini melihat PMX sebenarnya pembela tegar Yahudi dan Israel.
Video temu bual Cable News Network (CNN) International ke atas PMX ‘dipotong-potong’ oleh pembangkang demi melumur najis ke tubuh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
Naratif bual bicara eksklusif itu dipetik di luar konteks; diulas dan disebarkan secara durjana oleh ‘bajingan’ Perikatan Nasional (PN).
Dalam keghairahan itu, ada pemimpin PN melepasi garisan akidah dengan mengatakan pihaknya bertegas bahawa tiada hak untuk Israel wujud di muka bumi ini.
Kerana terlalu benci akan PMX, dia – Ahmad Fadhli Shaari – mempertikaikan qadar dan qadar Allah SWT yang menciptakan dan mewujudkan Israel di muka bumi ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu dan wakil rakyat sebloknya seolah-olah tidak sedar bahawa tindakan mereka itu sebenarnya menzalimi Palestin.
Kenapa dikatakan sedemikian?
Bertindak menyerang PMX yang sedang berusaha meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa Israel perlu dikeluarkan daripada PBB, bermakna merencatkan perjuangan mengurangkan kezaliman Israel ke atas Palestin.
Yang gagal difahami pembangkang (atau sememangnya mereka terlalu bengap) dalam sesuatu rundingan, emosi perlu terkawal dan fakta perlu dihormati.
Oleh sebab itu, apabila ditanya oleh CNN adakah Israel wujud, maka PMX mengeyakannya.
Jika PMX berkata tidak, ada kemungkinan CNN bertanya; ‘Kalau Israel tidak wujud kenapa perlu Putrajaya berkempen agar negara itu dikeluarkan daripada PBB?”
Di sinilah terletaknya kebijaksanaan PMX; bukannya seperti Ahmad Fadhli Shaari yang tidak ubah seperti ‘badut’ Pas!
Lagi satu, jika PMX tidak berkata “ya” bagi soalan tentang hak Israel mempertahankan diri, ada kemungkinan CNN bertanya, adakah itu selaras dengan ketetapan PBB?
Impaknya, Malaysia akan dilihat tidak matang, tidak mesra sejagat, dan berat sebelah.
Pembangkang perlu sedar, sokongan masyarakat antarabangsa akan diperoleh menerusi prinsip keadilan sejagat.
Selaku pemimpin bertaraf antarabangsa, PMX perlu bertindak begitu.
PMX mengeyakan hak Israel mempertahankan diri dalam konteks sekiranya negara itu diserang dalam isu yang bukan melibatkan tindakannya memulakan keganasan ke atas pihak lain.
Itu pendirian PMX yang gagal difahami manusia berhati busuk seperti Ahmad Fadhli Shaari dan rakan-rakannya.
Dalam temu bual yang sama, PMX kekal menyelar dan menekan Israel.
Selaran dan tekanan itu dizahirkan PMX melalui jawapan beliau bahawa Putrajaya tidak mengiktiraf Israel.
Nampak atau tidak betapa tersusunnya seni rundingan dan seni perang PMX?
Ahmad Fadhli, wakil rakyat pembangkang, dan pempengaruh bajingan seperti Papa Berry yang kelmarin memutarbelitkan kenyataan PMX dalam satu siaran media sosialnya terlalu jauh tingkat kebijaksanaan berbanding PMX.
Perbuatan pihak pembangkang seperti itulah sebenarnya yang menzalimi Palestin dan memberi jangka hayat lebih lama kepada Israel untuk menyusun strategi mengelakkan diri daripada dihukum PBB.
Tidak ada apa boleh diharapkan daripada pembangkang yang sememangnya bengap, kemaruk kuasa, dan pendek akal.
Mereka hanya tahu menghasut, memaki, menyebarkan kebencian, tanpa menyedari perbuatan itu memanjangkan penderitaan Palestin.
Malang betul kita ada pembangkang seteruk ini!







