PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, memanfaatkan pertemuan dua hala pada Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro untuk meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang strategik, termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, pertahanan dan kecerdasan buatan (AI).
Kedua-dua pemimpin melihat potensi besar dalam kerjasama AI yang semakin berkembang pesat, menandakan komitmen mereka untuk memperkasakan hubungan dua hala menerusi teknologi canggih.
Turut hadir dalam pertemuan penting itu ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Dalam pertemuan itu, kami menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Anwar turut mengambil kesempatan untuk membincangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Macron atas sokongan Perancis terhadap Kerjasama Pembangunan Asean-Perancis.
Perbincangan turut menyentuh isu global yang kritikal, termasuklah situasi di Palestin.
Kedua-dua pemimpin sepakat bahawa gencatan senjata perlu disegerakan dan kerjasama semua pihak amat penting untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin.






