Perkasa secara holistik, ekosistem PBD perlu ‘tawan’ minat murid seronok belajar

PUTRAJAYA – Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) disaran untuk diperkasa secara holistik bagi mengurangkan kebimbangan ibu bapa terhadap pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan dasar itu mempunyai kelebihan dalam memperkasa pendidikan negara yang mampu disifatkan pendekatan terbaik dalam membantu perkembangan pelajar secara holistik serta sumatif.

Namun, katanya, pelbagai pihak, khususya ibu bapa ketika ini melahirkan kegusaran terhadap kaedah atau cara penilaian terhadap penguasaan akademik murid-murid susulan pemansuhan PT3 dan UPSR.

“PBD bukannya tidak baik. PBD memang baik namun persoalannya adakah kita sudah bersedia atau belum sepenuhnya untuk melaksanakan dasar tersebut. Jika tidak, jadilah macam sekarang, sekejap guna tahap penguasaan (TP), tukar ke gred. Sekejap ibu bapa tak boleh tengok laporan, lepas itu boleh pula akses.

“Tidak boleh begitu kerana menyebabkan huru-hara sistem pendidikan negara. Setiap hari, guru bukan mengajar hanya suatu kelas. Ada guru mengajar lima hingga enam kelas. Kalau dalam satu kelas ada 40 murid, maksudnya ada 240 murid yang mesti ditaksirkan PBD mereka. Itu kalau satu mata pelajaran,” katanya kepada The Malaysia Press, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendirian Kementerian Pendidikan (KPM) yang tidak akan berpatah balik dalam keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 yang dibuat pada 2021 dan 2022.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ini kerana peperiksaan itu disifatkan tidak lagi relevan, khususnya dalam menerajui Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Mengulas lanjut, Anuar menegaskan,
pelbagai kelompangan serta kelemahan yang berlaku sejak PBD dilaksanakan pada 2021 walaupun dasar itu mempunyai kelebihan dalam membentuk kemenjadian murid, seperti dilaksanakan di negara-negara Eropah.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM berkata, jika mahu mencontohi negara luar bukan dari sistemnya sahaja namun perkara lain juga perlu diberi perhatian seperti kemudahan fizikal di setiap sekolah.

“Dalam isu PBD ini, tak cukup dengan hujah yang sekadar berkata -kata ‘kalau negara lain boleh buat mengapa kita tidak boleh?’. Lain padang lain belalang. Lihatlah dahulu kemudahan dalam bilik darjah mereka.

“Bandingkan dengan kemudahan bilik darjah kita. Lihat juga silibus mereka. Lihat juga konsep ‘homeroom teacher’ yang mereka amalkan. Tidak sama kemudahan mereka dengan kita,” katanya.

Sehubungan itu, Anuar menyarankan setiap bilik darjah yang melaksanakan PBD mestilah aktif dengan pelbagai aktiviti, sesuai dengan kecenderungan dan tahap keupayaan murid yang pelbagai.

Jelasnya, setiap bilik darjah yang melaksanakan PBD harus aktif dengan pelbagai aktiviti, sesuai dengan kecenderungan dan tahap keupayaan murid yang pelbagai, selain setiap murid harus diberi peluang menunjukkan perkembangan pembelajaran mereka kepada guru untuk ditaksirkan menerusi dasar terbabit.

“Tetapkan bilangan murid 25 orang setiap kelas atau kurang selain guru diberikan autonomi penuh laksana PBD. Janganlah ada berbagai pelaporan yang guru perlu lakukan. Silibus mestilah kurang padat dan fleksibel ikut keupayaan murid.

“Sediakan pelbagai kemudahan pembelajaran dalam bilik darjah supaya guru boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang menonjolkan keupayaan setiap murid. Dah bersedia, barulah ditaksir murid melalui PBD dan saya yakin tiada siapa akan menolak dasar dilaksana kerajaan.

“Kalau persediaan kita belum sampai ke situ, laksanakan UPSR dan PT3 dahulu cuma  hapuskan terus budaya ‘ranking’ atau suka membanding keputusan peperiksaan itu di antara sekolah. Tak akan ketinggalan negara kita kalau teruskan UPSR dan PT3. Cuma tingkatkan kualitinya,” katanya.

Related Posts

MCMC terima aduan kandungan seksual AI babit pelajar, guru

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima aduan berhubung penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan dan menyebarkan gambar serta video berunsur seksual yang didakwa membabitkan pelajar dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Prabowo setuju ambil langkah perlu tangani jerebu – PM

PUTRAJAYA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bersetuju mengambil langkah perlu bagi menangani situasi yang menyebabkan jerebu di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar berkata, persetujuan itu dicapai…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tular video merusuh guna senjata, polis tahan 14 remaja lelaki

  • By Fatin
  • October 8, 2026
Tular video merusuh guna senjata, polis tahan 14 remaja lelaki

KPM tutup institusi pendidikan di kawasan IPU tinggi, PdPR bermula Jumaat

KPM tutup institusi pendidikan di kawasan IPU tinggi, PdPR bermula Jumaat

MCMC terima aduan kandungan seksual AI babit pelajar, guru

MCMC terima aduan kandungan seksual AI babit pelajar, guru

Pulau Pinang kembali jerebu cecah IPU 155

Pulau Pinang kembali jerebu cecah IPU 155

Bot pancing putus hubungan akibat jerebu

Bot pancing putus hubungan akibat jerebu

Prabowo setuju ambil langkah perlu tangani jerebu – PM

Prabowo setuju ambil langkah perlu tangani jerebu – PM