
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah mengambil berat isu kesejahteraan rakyat dengan memberikan bantuan khas sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh setahun kepada golongan miskin dan miskin tegar pada tahun depan seperti yang diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan Sabah 2025.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bantuan khas ini dibuat buat julung kalinya kerana mengambil kira kenaikan harga barang yang memberi kesan kepada golongan yang bekerja sendiri.
“Seperti yang kita ketahui, pelarasan gaji kakitangan awam dan penetapan gaji minimum bagi sektor swasta akan mengakibatkan harga barangan meningkat secara mendadak.
“Keadaan ini akan memberi kesan khususnya kepada mereka yang bekerja sendiri seperti petani, nelayan, penjaja dan yang tidak mempunyai pekerjaan serta pendapatan yang tetap.
“Oleh itu, bagi mengurangkan tekanan sara hidup yang lebih tinggi, buat julung kalinya pada tahun hadapan, kerajaan Sabah akan menyantuni golongan yang terkesan dalam kategori miskin dan miskin tegar yang telah dikenal pasti sentuhan kasih rakyat dengan bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama satu tahun,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Sabah 2025, di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini pada Jumaat.
Jelasnya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM358.5 juta untuk pemberian bantuan khas tersebut.
Beliau berharap bantuan itu dapat mengurangkan beban kewangan dalam tempoh tertentu sekaligus memberi ruang untuk menyesuaikan diri dan mencari ikhtiar baharu dalam menambah pendapatan.




