
KUCHING – Golongan kurang berkemampuan bakal menerima subsidi perumahan untuk menampung sebahagian daripada harga perumahan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif di bawah Bajet Sarawak 2025 memastikan rakyat mampu memiliki rumah.
“Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk tujuan ini,” kata beliau ketika ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.
Beliau juga merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak berkata, kerajaan Sarawak meneruskan pelaksanaan Skim Penempatan Semula (SPS) dan Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) dengan bajet RM39 juta pada 2025.
“Ini bertujuan meringankan beban untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana di Sarawak,” ujar beliau lagi.
Selain itu, Abang Johari turut menjelaskan beberapa projek utama dijalankan seperti Skim Penempatan Semula Selirik, Kapit; SPK Igan Baru, Mukah; SPK Melugu, Sri Aman; Skim Pembesaran Bazar Kampung Trusan, Lawas; Pembesaran Kampung Tebakang Melayu, Serian dan pembesaran Kampung Pusa.
“Kerajaan Sarawak juga meneruskan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menyediakan rumah berkualiti, kondusif dan berpatutan,” kata beliau lagi.
Abang Johari menjelaskan peruntukan ini diberikan sebanyak RM247 juta pada tahun hadapan untuk projek pembangunan semula kampung di Kuching, Sibu, Bintulu dan Limbang.





