
KERAJAAN Selangor telah membawa beberapa usahawan terpilih ke ekspo Malaysia Fair di Tokyo, Jepun, bagi memberi pendedahan dan peluang perniagaan di peringkat antarabangsa, baru-baru ini.
Exco Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, peserta terdiri daripada usahawan bawah Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) turut menjalankan kajian pasaran pada program berkenaan.
“Tujuan lawatan adalah untuk membuka ruang kepada usahawan dari Selangor meneroka peluang perniagaan di pasaran antarabangsa dan dalam masa yang sama melakukan penyelidikan dan analisis pasaran.
“Hasrat kami adalah untuk menjadikan syarikat yang terlibat sebagai contoh kepada syarikat-syarikat lain dalam memajukan perniagaan dan membina rangkaian perniagaan di peringkat antarabangsa,” katanya dipetik Media Selangor.
Ekspo Malaysia Fair yang telah berlangsung dari 2 hingga 3 November merupakan anjuran Kedutaan Malaysia di Jepun sebagai platform bagi mempromosi keunikan budaya dan warisan Malaysia kepada masyarakat negara itu.
Sementara itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memaklumkan, sebanyak enam syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Selangor telah dibawa menyertai ekspo tahunan berkenaan.
Jelasnya, usaha itu merupakan langkah berterusan FAMA membantu usahawan agromakanan memperluas pasaran ke peringkat global serta membuka peluang pasaran alternatif.
“Ini adalah salah satu inisiatif untuk mempromosikan produk keluaran Malaysia serta meningkatkan nilai dagangan ke negara matahari terbit,” kata FAMA menerusi hantaran di Facebook rasmi.


