Pengkelasan subsidi bersasar T15 perlu diperinci, jadikan pendapatan boleh guna sebagai kayu ukur kerajaan

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi perlu proaktif memperhalusi pengkelasan kategori T15, selain menjelaskan kepada umum ciri-ciri kumpulan itu bagi mengelak kekeliruan kepada masyarakat sehingga merosakkan imej kerajaan.

Pemerhati politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata,
kelompangan maklumat mengenai kategori T15 yang wujud selepas belanjawan diumumkan harus ditangani dengan segera susulan menyentuh berkenaan persepsi umum, ketulusan serta kewibawaan dalam menyampai maklumat.

Menurutnya, timbul kekecohan di kalangan pelbagai pihak berikutan kelompok itu masih dianggap baharu kerana kerajaan sebelum ini mengguna kategori T20 bagi merujuk golongan kaya atau berpendapatan isi rumah tinggi melebihi RM11,820 sebulan.

“Kegusaran timbul bila M40 dan T20 menyangka kategori baharu itu turut membabitkan mereka. Sebaliknya, kategori isi rumah T15 dilaporkan merujuk kepada istilah untuk menggambarkan 15 peratus isi rumah teratas dari segi pendapatan dalam masyarakat iaitu golongan ‘maha kaya’ dengan pendapatan isi rumah melebihi kategori T20.

“Ini adalah sebahagian daripada pembahagian pendapatan sering digunakan untuk menganalisis ketidaksamaan pendapatan yang mana masyarakat dibahagikan kepada kategori berdasarkan pendapatan mereka seperti B40, M40 dan T20. Justeru, masyarakat khasnya golongan M40 dan T20 tidak harus cepat melatah dengan kewujudan kategori T15.

‘Bahkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan pengkelasan kategori isi rumah bagi setiap peringkat tidak akan menggunakan data pendapatan isi rumah kasar sedia ada, tapi mengambil kira perbelanjaan asas isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar, bergantung kepada beberapa pemboleh ubah akan ditentukan,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press, hari ini.

Bagaimanapun, Nur Ashikin menegaskan, penyasasaran subsidi petrol RON95 terhadap kumpulan T15 harus dipandang serius susulan ia isu amat sensitif kepada rakyat terutama kelompok M40 yang dikategorikan pendapatan isi rumah selesa, tetapi bergantung kepada lokasi mereka tinggal serta jumlah tanggungan ahli keluarga.

Katanya, kelompok M40 juga lebih peka dan sensitif terhadap sebarang dasar serta dasar ekonomi kerajaan kerana kumpulan itu perlu cepat menyesuaikan pendapatan isi rumah dengan perbelanjaan harian dan bulanan.

“Lazimnya kelompok M40 adalah golongan terlepas mendapat bantuan atau inisiatif diwujudkan kerajaan bagi membantu rakyat kerana taraf mereka dianggap melebihi kemampuan B40, tetapi berada di bawah sedikit garis T20.

“Apa yang penting, penyasaran subsidi, pemberian insentif dan inisiatif ditawarkan menerusi Belanjawan 2025 perlu lebih telus, adil dan saksama untuk segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Felow Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma pula berpandangan pengkelasan golongan T15 bagi pemberian subsidi bersasar perlu diukur bersandarkan pendapatan boleh guna sesebuah isi rumah dengan mengikut lokasi bagi sesebuah negeri.

Beliau berpandangan, konsep pengkelasan golongan tertentu dengan mengikut garis pendapatan masih relevan termasuk membabitkan pemberian subsidi bersasar, namun harus diberi kajian secara terperinci sebelum dilaksanakan.

“Maklumat individu yang diperoleh termasuk menerusi Pangkalan Data Utama (PADU) perlu diperincikan untuk mengenal pasti golongan yang benar-benar layak menerima subsidi. 

“Sebagai contoh, kerajaan boleh memperincikan aspek tanggungan bagi sesebuah keluarga termasuk dari segi takrifan umur itu sendiri. Kalau ada anak berumur 17 tahun dan sihat dalam keluarga itu, maka ia tidak lagi dianggap sebagai tanggungan kerana sudah boleh bekerja (sekiranya tidak bersekolah)  walaupun pada hakikatnya menganggur,” katanya.

Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun depan.

Anwar berkata, penyasaran itu boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya ketika ini.

Related Posts

Belanjawan 2027: MMA mahu penghijrahan doktor sektor awam ditangani

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk Kerajaan Persekutuan mengambil langkah konkrit dan holistik yang boleh dilaksanakan menerusi Belanjawan 2027 bagi menangani penghijrahan doktor daripada sistem kesihatan awam yang semakin membimbangkan. Presiden…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sembilan tahun menanti, F1 kembali meriahkan Sepang – PM

KUALA LUMPUR – Kembali ke Malaysia selepas sembilan tahun, perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Belanjawan 2027: MMA mahu penghijrahan doktor sektor awam ditangani

Belanjawan 2027: MMA mahu penghijrahan doktor sektor awam ditangani

Sembilan tahun menanti, F1 kembali meriahkan Sepang – PM

Sembilan tahun menanti, F1 kembali meriahkan Sepang – PM

Dua lelaki bermotosikal rempuh anggota polis di sekatan jalan raya Jalan Padungan

Dua lelaki bermotosikal rempuh anggota polis di sekatan jalan raya Jalan Padungan

Jerebu masih tidak reda di tujuh kawasan

Jerebu masih tidak reda di tujuh kawasan

Pemetaan budaya ‘Voices of Old Kuching’ rakam warisan, memori komuniti

Pemetaan budaya ‘Voices of Old Kuching’ rakam warisan, memori komuniti

Hari Belia St John Marie Vianney perkukuh jati diri generasi muda Krusen Kranji

Hari Belia St John Marie Vianney perkukuh jati diri generasi muda Krusen Kranji