
KOTA KINABALU – Sambutan luar biasa Program Madani Rakyat (PMR) Sayangi Sabah merekodkan kehadiran seramai 485,474 pengunjung pada tempoh tiga hari bermula 18 hingga 20 Oktober lalu di pekarangan Kompleks Sukan Likas.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, pelaksanaan program ini merupakan kolaborasi antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai kementerian peneraju dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Pengisian program melibatkan 36 unit reruai kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Sabah selain penglibatan sektor swasta.
“Sebanyak 215 perkhidmatan touchpoint rakyat, 118 usahawan Jualan Madani, pameran aset oleh empat agensi kerajaan, 14 majikan di karnival kerjaya, 40 acara sesi libat urus pentas, 20 aktiviti luar, 28 perkhidmatan kos sara hidup dan 18 aktiviti agenda belia,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Isnin.
Dalam majlis sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melancarkan inisiatif Kita Gempur iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan.
Katanya, inisiatif ini merupakan satu langkah strategik kerajaan melalui KPDN untuk membina gerakan massa bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.
Selain itu, turut diadakan penyampaian surat hak milik tanah individu (’Native Title’) kepada wakil penerima dari lapan daerah.
Dalam pada itu, katanya, Perdana Menteri turut menyerahkan cek cura (mock-cheque) kepada wakil-wakil penerima Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) dan melancarkan Nombor Plat Istimewa (NPI) MADANI untuk tujuan bidaan.
Jelasnya, ia adalah satu langkah meningkatkan sosioekonomi rakyat melalui pendekatan ’Community Based Project’.
Kongsinya, penganjuran PMR Sayangi Sabah telah berjaya mencapai objektif untuk merakyatkan program dan perkhidmatan kerajaan di akar umbi.






