Bakar buku ‘Setahun Kerajaan Madani’: ‘Kita’ masih mahu berdiplomasi?

DAKWAAN bergambar oleh aktivis undang-undang – Faizal Rahman – bahawa buku ‘Setahun Kerajaan Madani’ dibakar di sebuah sekolah seharusnya meninggalkan satu soalan – adakah ‘kita’ masih mahu berdiplomasi?

Dengan mengandaikan ‘kita’ itu sebuah kementerian, saya berharap banyak hal dilihat dengan lebih serius berkaitan daulah terpendam ini jika ‘kita’ mahu melihat Kerajaan Perpaduan bergerak dengan lancar.

Secara peribadi sebelum ini sudah kerap saya bercakap tentang ‘kita’ ini yang terlalu beri muka kepada pihak lawan sehingga mereka menjadi tembam akibat naik lemak.

Selalu saya katakan dua jenis premis paling perlu diberi fokus untuk menyekat wabak ‘penyebaran agenda kebencian’ – premis berkaitan masjid dan berkaitan sekolah.

Di kedua-dua premis ini, ‘kita’ harus sentiasa buka mata melihat tindak-tanduk musang berbulu ayam yang kadangkala sangat berani membuka topeng mereka di khalayak.

Malangnya, saya lihat perkara seumpama ini seolah-olah dibiarkan oleh ‘kita’ dan itu sungguh mengecewakan.

Perihal membusuknya permasalahan ini kadangkala terhidu oleh masyarakat namun tidak sampai ke hidung ‘kita’ dan kebejatan sebegitu dibiarkan berlalu.

Kalau dahulu masyarakat digemparkan oleh isu isi khutbah Jumaat di sebuah negeri terkait dengan gambar dan pesanan presiden sebuah parti politik pembangkang, kali ini perangai biadab berlaku di sebuah sekolah.

Itu baru kes yang terbongkar. Kes yang terpendam apa cerita?

Cakap-cakap bahawa buku laporan ‘Setahun Kerajaan Madani’ tidak diedarkan kepada kakitangan dan guru-guru sebenarnya sudah lama kedengaran tetapi ‘kita’ seperti tidak mahu percaya.

Betullah apa-apa yang dikatakan oleh Faizal Rahman bahawa inilah contoh perlunya ‘barah walaun’ dihapuskan hingga ke akar umbi tetapi malangnya, ‘kita’ dan yang duduk di atas itu belum lagi sedar-sedar.

Kelihatannya ‘kita’ seperti sedang bermain wayang dan yang duduk di atas ‘kita’ itu pula terulit oleh tepukan gemuruh pihak yang sangat pandai bermuka-muka.

Apabila ada rakan-rakan menyimbah ‘air Yasin’ ke wajah yang berkenaan dengan niat murni, rakan-rakan itu pula dikecam secara terus dan pantas oleh pesuruhnya.

Barangkali yang sedang asyik dan enak berada ‘di atas’ itu berhasrat menepati mafhum peribahasa ‘Sudah terhantuk baru tengadah’ dalam kes seumpama ini.

Jika begitu ‘mahumu’, selamat berjaya.

Tunggulah waktunya Kerajaan Perpaduan ‘dilipat’ oleh pemain dan tok dalang wayang kulit tersebut.

Kami di luar lingkungan ini sudah lama mendengar gendang dan nafiri pemberontak itu dan telah banyak kali kami memberi peringatan.

Jangan nanti kami dipersalah kononnya tidak mengirim isyarat.

Telah kami lakukan hal itu banyak kali dalam isu yang pelbagai, tetapi kamu bukan saja tidak mahu melihat, bahkan menganggap kami pula musuhnya.

Berdiplomasilah, dan teruskanlah keasyikan itu.

Jangan jadi seperti luncai dengan labu-labunya, sudahlah!

  • Related Posts

    Perlu dibaca

    MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

    MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

    54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

    54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

    Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

    Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

    Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

    Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

    Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

    Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

    R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat

    R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat