
KUBANG PASU – Kegagalan Syarikat Air Darul Aman (SADA) membekalkan air dengan sempurna menyebabkan penduduk di Kampung Kubang Lintah, Tunjang dekat sini terpaksa mencari sumber air lain untuk meneruskan kehidupan mereka.
Masalah itu menyebabkan penduduk terpaksa menadah air hujan serta mengguna air telaga bagi mendapatkan bekalan air.
Penduduk, Aliassaak Md Isa, 42 berkata, dia terpaksa mengorek telaga di belakang rumahnya sejak dua tahun lalu apabila masalah air terbabit membelenggu kehidupan mereka sekeluarga.
“Bekalan air paip di rumah saya ni kalau hari siang memang tak ada langsung, waktu malam ada la tapi perlahan saja.
“Air telaga pula kalau hari hujan tak boleh guna langsung, hari biasa masih boleh guna tapi kena letak tawas untuk jernihkan air,” katanya.
Menurutnya, hanya beberapa buah rumah di kampung terbabit yang terletak di kawasan lebih tinggi terlibat dengan masalah berkenaan.
“Rumah penduduk yang hampir dengan Bukit Tunjang saja ada masalah gangguan ni. Rumah yang dekat dengan jalan raya laju pula air paip mereka.
“Saya tak pasti sebab tekanan atau ada paip yang tersumbat. Saya dah kerap kali buat aduan kat SADA, tapi tiada maklum balas,” katanya.
Pelajar, Mohd Nabil Isa,16, berkata, dia dan tiga lagi adiknya terpaksa mandi air telaga yang keruh setiap pagi untuk ke sekolah.
“Ayah saya buat paip sedut naik air telaga dalam tong besar sebelum disalurkan ke dalam rumah.
“Jadi air tu kami guna untuk mandi dan membasuh. Kalau untuk minum kami terpaksa bawa botol mengambil air paip di Masjid Haji Ismail,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga kadang kala akan menghubungi SADA untuk memohon penghantaran bekalan air bersih ke rumah.
“Cuma SADA akan ambil masa beberapa hari untuk hantar selepas dihubungi, jadi kami terpaksa guna air yang ada dulu,” katanya.
Mohd Wazi Abd Wahab, 52, pula berkata, sebelum ini di rumahnya hanya akan ada bekalan air paip pada waktu malam.
“Tetapi sekarang ini malam pun tak ada. Waktu siang pula setakat paip di luar rumah sahaja, air tak masuk sampai dalam rumah.
“Saya pernah buka paip yang dekat dengan meter air, memang kat situ boleh nampak air halus saja keluar. Macam mana air nak masuk dalam rumah kalau kat situ pun perlahan,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Mashitoh Abdul Ghani, 47, berkata, dia agak tertekan dengan masalah terbabit kerana perlu menguruskan ibunya, Manis Ismail, 82, yang sakit tua.

“Saya rasa tertekan sangat, sebab ada orang tua yang sakit, nak mandi dia pun susah bila air paip dalam rumah tak ada.
“Banyak urusan rumahtangga jadi tergendala. Pakaian kami pun kena himpun dulu untuk basuh di dobi,” katanya.
Jelasnya, apabila hari hujan, dia akan menadah air hujan untuk membasuh pinggan mangkuk.
“Kadang-kadang rasa macam hidup zaman dahulu pula. Basuh pinggan pun di luar, kadang-kadang pinggan mangkuk pun berlonggok tak terbasuh sebab tunggu air.
“Saya berharaplah SADA dapat turun ke kawasan ini bagi mencari masalah air yang kami hadapi selama ini,” katanya.





