Pemerkasaan PBD mampu jadikan murid seronok tuntut ilmu, berbanding UPSR PT3

PUTRAJAYA – Semua pihak perlu memberi sokongan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dapat dilaksanakan sebaiknya secara komprehensif walaupun pelbagai polemik timbul sehingga ada pihak mahu dasar tersebut dimansuhkan.

Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, pentaksiran itu disifatkan pendekatan terbaik dalam membantu perkembangan pelajar secara holistik dan sumatif.

Menurutnya, ia memberi penekanan merangkumi pelbagai aspek termasuk jasmani, rohani dan intelek berbanding pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan.

“PBD telah mengubah amalan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) kepada ‘berasaskan aktiviti’ dan bukan lagi ‘berasaskan peperiksaan’. Ini adalah perubahan besar yang mesti difahami sebaiknya. Motivasi belajar di bawah PBD sepatutnya murid seronok dengan aktiviti belajar, selain tiada tekanan.

“Dasar PBD ia dikembangkan dengan rasa ingin tahu dan mengalakkan eksplorasi. Sedangkan motivasi pembelajaran berasaskan amalan peperiksaan pula motivasi untuk bersaing, penuh dengan hafalan, fokus pada latih tubi dan latihan menjawab soalan lepas,” katanya kepada The Malaysia Press.

Bagaimanapun, Anuar berkata, pelbagai kelompangan serta kelemahan yang berlaku sejak PBD dilaksanakan pada 2021 walaupun dasar itu mempunyai kelebihan dalam membentuk kemenjadian murid, seperti dilaksanakan di negara-negara Eropah.

Sehubungan itu, beliau yang juga Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN) menyarankan
setiap bilik darjah yang melaksanakan PBD mestilah aktif dengan pelbagai aktiviti, sesuai dengan kecenderungan dan tahap keupayaan murid yang pelbagai.

“Latihan dan kompetensi guru sangat kritikal. Amalan guru mengajar secara ‘chalk and talk’ dan murid hanya pasif mendengar bukanlah ekosistem yang baik untuk laksanakan PBD. Melaksana hanya satu kaedah pengajaran sama untuk semua murid juga adalah tidak selari dengan tujuan pelaksanaan dasar itu yang mesti mengikut perkembangan individu murid tanpa dibandingkan dengan murid lain.

“Dasar itu juga menghadkan sekurang-kurangnya hanya 20-25 murid untuk satu bilik darjah, jika melebihi daripada jumlah itu, pentaksiran PBD akan merosot yang akan mencipta ia tidak akan berkesan dan akhirnya akan ditolak oleh guru-guru dan ibu bapa.

“Bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dengan mengambil kira kepelbagaian murid, ekosistem seterusnya ialah silibus yang disediakan untuk dilaksanakan oleh guru mestilah sesuai dengan masa yang ada untuk mereja merancang pelbagaikan aktiviti. Jika silibus terlalu banyak, guru-guru tidak cukup masa untuk pelbagaikan aktiviti, maka pentaksiran PBD pasti tidak dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, keperluan untuk KPM memperkasakan Alatan Bantuan Mengajar (ABM) kepada guru-guru walaupun ia tidak sering digunakan untuk sesi pembelajaran di sekolah.

“Kepelbagaian aktiviti tentunya memerlukan kepelbagaian ABM yang disediakan oleh pihak sekolah dan kementerian. Maksudnya mestilah ada peruntukan khusus untuk disediakan oleh KPM pada sekolah dan guru-guru untuk pelaksanaan PDPc bagi tujuan PBD.

“PBD akan gagal dan ditolak oleh cikgu jika pada setiap masa mereka terpaksa belanja duit poket sendiri untuk sediakan ABM bagi menjayakan pentaksiran berkenaan. Ia bukan sahaja ekosistem dari segi silibus tetapi guru-guru juga memerlukan ABM yang pelbagai,” katanya.

Sementara itu, oleh kerana setiap murid mempunyai personaliti, kecenderungan dan keupayaan yang berbeza maka, Anuar mencadangkan agar setiap murid harus diberi peluang untuk menunjukkan perkembangan pembelajaran mereka kepada guru untuk ditaksirkan dalam PBD.

“Skala dan rubrik Tahap Penguasaan (TP) PBD kabur dan tidak tekal. Murid personaliti pelbagai, ada introvert dan ada yang ekstrovert. Ada yang ramah, ada yang pendiam. Minat, kecenderungan dan tahap kognitif mereka juga berbeza. Tetapi rubrik dan skala gred PBD telah distandardkan. Bagaimana skala itu memberi peluang pada semua murid menunjukkan kebolehan mengikut keupayaan masing-masing?

“Misalnya, apakah benar hanya murid ‘terpuji’ dan ‘mithali’ sahaja boleh diiktiraf sebagai murid cemerlang. Atas asas apa? Apa nasib murid yang personaliti mereka introvert. Apakah ukuran TP6 untuk murid introvert dan ekstrovert sama sahaja. Jika dilaksanakan, adakah maklumat pentaksiran PBD akan menggambarkan prestasi sebenar murid-murid yang berbeza personaliti,” katanya.

Pada masa sama, tegasnya, guru-guru juga mestilah diberikan autonomi penuh dalam melaksanakan PBD, dengan tidak ada mana-mana pihak, khsusnya dari luar kelas mempertikai gred pentaksiran berkenaan yang telah diberikan oleh guru.

Anuar yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM berkata, amalan pentaksiran PBD menuntut guru-guru mempunyai lebih banyak masa di dalam kelas.

“PBD memang baik tetapi pastikan terlebih dahulu ekosistem PBD telah disediakan untuk memastikan pentaksiran PBD telus, sah dan boleh dipercayai. Jika tidak, PBD akan gagal kerana ditolak oleh guru-guru dan ibu bapa. Bila ditolak, janganlah ada pula pihak yang kata guru-guru tidak pandai mengajar atau ibu bapa tidak faham perubahan yang mahu dilakukan melalui pelaksanaan PBD. Salah sebenarnya.

“Sebolehnya guru mahu laksanakan PBD. Ibu bapa juga mahu anak-anak mereka berjaya dalam pendidikan. Mereka tentunya menyokong perubahan. Tetapi mereka mahu PBD yang lebih bersedia, lebih berkesan dan lebih baik untuk anak-anak. Sebab mereka tak mahu mereka menjadi tikus makmal,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, buat masa ini Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan keputusan terdahulu untuk memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Beliau memaklumkan, KPM ada ketetapan selain perlu melaksana pelbagai penegasan khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan latihan untuk guru bagi memastikan tiada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan mereka.

Related Posts

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

SEPANG – Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan sebanyak 54 kapal di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

KETIKA sebahagian pihak terus memainkan naratif kononnya negara sedang gagal dan ekonomi semakin merudum, angka rasmi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

MINDET laksana 8 pelan tindakan, 2 inisiatif baharu atasi isu kesesakan pelabuhan

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

54 kapal misi GSF hampiri Gaza, SNCC jangka risiko pemintasan meningkat

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Kestabilan politik bukan sekadar slogan, data KDNK bukti Malaysia bergerak maju

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Permohonan khas ke IPTA untuk lepasan UEC, tahfiz dibuka hujung Jun

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

Sarawak Water tunai tanggungjawab, serah zakat perniagaan RM325,000 kepada Baitulmal

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat

R&R Engkilili mula operasi, pacu ekonomi komuniti setempat